Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Silap siapa jika pengganti Dr Mahathir bermasalah?

ULASAN l Dr Mahathir Mohamad sering berkata beliau tidak pandai memilih pengganti.

Malah dalam ucapan 30 Disember lepas ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya beliau mengulangi hal yang sama.

Saya tidak mahu mempersoalkan sama ada beliau bersungguh-sungguh atau berseloroh apabila membuat kenyataan itu.

Sebaliknya saya berpendapat Dr Mahathir mematuhi peraturan di dalam memilih pengganti atau bakal pengganti.

Apa yang berlaku kepada pengganti atau bakal pengganti lebih berupa masalah dan pilihan mereka sendiri.

Daripada pengamatan saya, Dr Mahathir sentiasa dipandu oleh kehendak dan keputusan parti di dalam membuat pilihan pengganti dan bakal pengganti.

Atas alasan itulah beliau membawa masuk semula dan memberikan jawatan kepada banyak orang yang menentang beliau dalam parti dan kerajaan.

Itulah yang berlaku dengan Abdullah Ahmad Badawi yang akhirnya dilantik menjadi perdana menteri dan watak-watak lain yang menentang beliau dalam pertandingan jawatan presiden Umno tahun 1987.

Apabila beliau membawa Abdullah masuk semula kabinet pada tahun 1990 dan diberikan jawatan menteri luar, saya bertanya beliau mengapa beliau berbuat demikian sedangkan Abdullah menentang beliau?

Katanya, beliau membawa Abdullah balik kerana dia memang jawatan naib presiden dalam pemilihan parti. Sebagai presiden Umno, katanya, beliau terpaksa menghormati kehendak ahli.

Jadi yang salah bukanlah cara Dr Mahathir memilih pengganti atau bakal pengganti tetapi pengganti atau bakal pengganti itu sendiri menembak kaki mereka sendiri.

Musa Hitam

Sedikit sebanyak saya mengikuti dari jarak dekat bagaimana Dr Mahathir memilih pengganti dan bakal pengganti bermula dengan Musa Hitam.

Dari awal lagi Dr Mahathir melihat Musa sebagai sekutu. Apabila beliau dilantik menjadi timbalan perdana menteri pada tahun 1976 oleh Almarhum Hussein Onn, Dr Mahathir menjadikan Musa rakan.

Beliau mempunyai beberapa pilihan dari kalangan kepimpinan tertinggi Umno ketika itu tetapi memilih Musa kerana anak Johor itu dilihatnya sebagai lebih serius, demokratik dan intelektual.

Apabila beliau naik menjadi perdana menteri pada tahun 1981, beliau melantik Musa sebagai timbalan dan memberikan beloau jawatan tambahan sebagai menteri dalam negeri.

Yang menyebabkan kerenggangan hubungan mereka adalah apabila Musa mula termakan nasihat para penasihat beliau yang separuh masak tetapi bercita-cita tinggi.

Musa menampilkan diri sebagai pemikir ekonomi liberal yang pro-pasaran walaupun pada mulanya beliau dilihat cenderung kepada sosialisme, khususnya ketika menjadi menteri perusahaan utama di bawah Hussein.

Dr Mahathir pula lebih nasionalistik dan melihat dasar ekonomi sebagai pemangkin kepada penjanaan keupayaan ekonomi, khususnya dalam konteks Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Musa mula tidak sependapat dengan Dr Mahathir apabila Dr Mahathir melancarkan beberapa inisiatif besar bagi membina kapasiti ekonomi, khasnya untuk Bumiputera, seperti Projek Kereta Nasional (Proton).

Musa dan banyak ahli ekonomi liberal ketika itu melihat Proton dan projek-projek yang serupa dengannya sebagai tidak sesuai dan membazir.

Musa melancarkan cabaran dengan meletakkan semua jawatan dalam kerajaan tetapi mengekalkan jawatan politik. Beliau kemudian pergi ke Makkah untuk menunaikan Umrah dan seterusnya ke London bercuti.

Strateginya ialah penyokong beliau dalam Umno dan kerajaan akan mengenakan tekanan ke atas Dr Mahathir supaya tidak menerima peletakan jawatan beliau dan memanggilnya balik.

Mereka tersilap besar. Dr Mahathir tidak merayu Musa pulang sebaliknya memanggil sidang Majlis Tertinggi Umno dan menyerahkan keputusan kepada ahli majlis.

Keputusan suara terbanyak ialah jika Musa hendak bersara daripada kerajaan mereka hormati hasrat beliau.

Musa cuba mengekalkan kedudukan sebagai timbalan presiden Umno dalam pemilihan tahun 1987 dengan berpakat dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Umno berpecah kepada dua pasukan - “Team A” dan “Team B”. Tengku Razaleigh gagal rampas jawatan Presiden daripada Dr Mahathir dan Musa hilang jawatan kepada Almarhum Abdul Ghafar Baba .

Bersama Abdul Ghafar, Dr Mahathir mempertahankan Umno daripada percubaan Tengku Razaleigh “merampasnya” melalui saman mahkamah.

Anwar pilihan istimewa

Anwar adalah pilihan Dr Mahathir. Tidak sampai setahun menjadi Perdana Menteri beliau membawa Anwar masuk Umno dan dalam masa tidak sampai sebulan mencalonkan beliau sebagai wakil Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) 1982.

Beliau berjaya merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada penyandang PAS, Almarhum Yusof Rawa.

Mengalu-alukan kemenangan Anwar, Dr Mahathir menyifatkan beliau sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat tetapi sudah diterima oleh rakyat jelata sehingga mampu mengalahkan Yusof Rawa.

Yusuf Rawa, bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang, Dr Mujahid, adalah gergasi politik ketika itu. Pada PRU 1969 beliau menewaskan Dr Mahathir di Kota Setar Selatan (sekarang Pendang).

Anwar naik mencacak. Dalam masa 11 tahun beliau naik daripada anak ayam berbulu pahat kepada timbalan perdana menteri dan bakal pengganti Dr Mahathir.

Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kita sering diingatkan melalui hujah ahli falsafah George Santayana bahawa orang yang lupa (kejadian) masa lampau akan mengulangi kesilapannya.

Ibnu Khaldun dalam bukunya yang agung “Muqaddimah” (1377), antara lain, menulis (dengan izin):

“History is an art of valuable doctrine, numerous in advantages and honourable in purpose; it informs us about bygone nations in the context of their habits, the prophets in the context of their lives and kings in the context of their states and politics, so those who seek the guidance of the past in either worldly or religious matters may have that advantage.”

Jadi marilah kita belajar daripada sejarah.


A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau." Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS