Daim anggap kenyataan Hakim Gopal satu kesilapan besar
Terjemahan Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan kenyataan mahkamah yang menuduhnya membantu tokoh korporat, Tan Sri Halim Saad dan Datuk Anuar Othman melesapkan RM32.5 juta dari syarikat konsesi tol, Metramac Corporation Sdn Bhd sebagai satu kesilapan besar.
Dalam satu kenyataan ringkasnya bertarikh 17 Januari itu yang dikeluarkan menerusi peguam Cecil Abraham dari frima guaman Shearn Delamore & Co, bekas menteri itu menolak sama sekali semua kenyataan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Januari lalu itu.
Daim kini berada di luar negara dan dijangka mengeluarkan kenyataan penuhnya berhubung isu ini sebaik sahaja pulang minggu depan.
"Pelanggan kami mahu menarik perhatian kepada keputusan Mahkamah Rayuan bagi kes Fauziah Holdings lawan Metramac, di mana beberapa tuduhan telah dibuat terhadap beliau. Kami diarahkan oleh pelanggan kami untuk menegaskan bahawa segala tuduhan itu adalah kesilapan besar," kata peguam itu.
Kenyataan Daim itu dikeluarkan sehari selepas Halim mengedarkan kenyataan sembilan muka suratnya bagi menafikan segala tuduhan yang terkandung dalam keputusan penghakiman yang memberi kemenangan kepada Fauziah Holdings.
Tokoh korporat terkemukan itu menafikan dia dan bekas rakan kongsinya, Anuar telah melesapkan wang dari Metramac. Halim juga menafikan Daim turut bersubahat dalam perbuatan tersebut.
Halim menegaskan, Daim tidak lagi menjadi Menteri Kewangan ketika masalah dengan Metramac itu timbul pada tahun 1992.
Daim meletakkan jawatan menteri pada Mac 1991 dan digantikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada akhir tahun 1990an beliau menyertai semula kabinet dan bersara dengan jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas pada tahun 2001.
Dalam penghakimannya, Hakim Gopal Sri Ram mengarahkan Metramac membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings sebagai ganti rugi akibat kehilangan hak pengiklanan. Berita asal