Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengusaha minyak tolak dakwaan Najib
Diterbitkan:  Jan 6, 2019 3:04 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menolak dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak yang mengatakan kerajaan membantu pengusaha minyak mendapat keuntungan daripada penetapan harga petrol baru.

"Dalam kenyataan Najib yang terbaru ini kenaikan 2.81 sen seliter untuk komisen ini dikirakan mengikut jumlah bulat keluaran depot tahunan; seperti memberi ilusi bahawa pengusaha mendapat sebanyak RM30 juta setiap bulan.

"Jika dibahagikan kepada 3,500 stesen di seluruh negara purata kenaikan pendapatan kasar adalah RM8,500 sebulan setiap stesen; walhal kenaikan kos yang ditanggung pengusaha selama 10 tahun yang lalu telah melebihi RM10,000 sebulan," jelas persatuan itu dalam kenyataannya.

PDAM berkata, berdasarkan data, hanya 10 peratus daripada pengusaha seluruh Malaysia menjual bahan api itu dalam kategori jualan tinggi iaitu melebihi 600,000 liter sebulan.

Manakala 67 peratus berada dalam kategori jualan rendah hingga ke pertengahan (Jualan di bawah 400,000 liter sebulan) dan ini termasuk 20 peratus di bawah 200,000 liter sebulan. 

"Bagi yang menjual di bawah 200,000 liter sebulan pula pendapatan bersih adalah kurang daripada RM1,500 sebulan," jelasnya.

Menurutnya, kerajaan BN sebelum ini juga pernah membuat kajian bahawa ramai pengusaha stesen minyak layak menerima BR1M kerana rata-rata pendapatan mereka adalah kurang daripada RM4,000 sebulan.

"Kos seperti penggajian, utiliti, caj kad kredit, sewa kepada syarikat minyak yang semakin tinggi menyebabkan ramai yang beroperasi dalam kerugian," katanya.

Tambahnya sejak 10 tahun lalu, kerajaan BN juga banyak kali kami memohon untuk meneliti nilai komisen dan banyak persetujuan tidak ditunaikan sehingga mengakibatkan industri ini 'semakin parah'.

"Kerajaan yang ada sekarang sekurang-kurangnya memahami situasi dan cuba memperbetulkan keadaan. 

"Jika industri ini dipaksa menghadapi kerugian, rangkaian bekalan tenaga petroleum akan terganggu dan seterusnya akan mencalarkan ekonomi negara," katanya.

Najib semalam mendakwa PH membantu pengusaha minyak dengan mengatakan mereka boleh meraih keuntungan tambahan sebanyak RM900 juta setahun bagi harga RON95 terbaru.

Kerajaan semalam kembali kepada sistem penetapan apungan mingguan yang menyaksikan kejatuhan harga RON95 daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter.

Bagaimanapun, Najib berkata harga runcit untuk RON95 sepatutnya adalah RM1.90 dan bukan RM1.93 seliter.

Lihat Komen
ADS