Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih tak teragak lapor kesalahan di PRK Cameron Highlands

Gabungan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 memberi amaran kepada semua calon pilihan raya kecil Cameron Highlands agar tidak melakukan kesalahan sepanjang tempoh berkempen.

Menurut ahli Jawatankuasa Bersih, Alexzander Johnson, berbeza dengan empat pilihan raya kecil sebelum ini, Bersih kali ini akan mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana calon melanggar peraturan.

“Harapan orang ramai sangat tinggi untuk melihat pilihan raya yang bersih pada pasca PRU14 lalu.

"Namun melihat empat PRK lepas perlakuan kesalahan pilihan raya masih dilakukan, maka pada PRK kali ini kami tidak teragak-agak untuk melaporkan kesalahan pilihan raya kepada pihak berkuasa, termasuk polis, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Johnson berkata, BERSIH juga menuntut semua calon menandatangani ikrar pilihan raya yang disediakan gabungan itu.

“Aku janji tersebut adalah untuk memastikan calon menjalankan kempen mereka dengan etika yang bersih dan adil, bebas rasuah seperti pemberian wang atau hadiah

"Bebas pengaruh tidak wajar seperti konsert percuma, makan malam percuma, salah guna jentera kerajaan serta manipulasi sentimen perkauman dan keagamaan bagi mencetuskan kebencian dan keganasan” katanya

Kata Johnson, sidang media secara langsung juga akan dibuat untuk calon yang menandatangi ikrar terbabit pada hari penamaan calon, 12 Januari depan, jam 1.00 petang.

“Siaran langsung tandatangan aku janji ini akan dibuat melalui Facebook. Kami juga yakin tindakan ini akan membantu pengundi di Cameron Highlands untuk mengetahui dengan lebih lanjut komitmen calon terhadap pilihan raya bersih dan politik bersih,” katanya.

Bersih juga turut menjemput orang awam khususnya mereka yang tinggal di Cameron Highlands untuk menjadi "mata dan telinga" bagi memastikan semua calon tidak melakukan kesalahan pilihan raya kali ini.

Lawatan wakil kerajaan tak kena masa

Sementara itu beliau juga menyifatkan tindakan menteri Pakatan Harapan (PH) yang dilihat kerap ke Cameron Highlands menjelang PRK 12 Januari depan sebagai "pada dasarnya salah".

Walaupun ia tidak melanggar undang-undang pilihan raya, katanya lagi, kehadiran begitu ramai pemimpin gabungan pemerintah tidak sesuai pada masanya.

Ia juga seolah-olah menunjukkan pihak kerajaan "berkempen", katanya lagi.

"Kami rasa tidak sesuai untuk mengadakan program di sana pada masa ini. Kenapa mereka tidak boleh tunggu sehingga selepas pencalonan?" soalnya.

PRK Cameron Highlands diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lalu, yang membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh ekoran berlaku unsur rasuah pada PRU14.

SPR menetapkan 12 Jan ini sebagai hari penamaan calon manakala 26 Jan sebagai hari mengundi.

Lihat Komen
ADS