Terbiar tanpa dikomersial oleh mana-mana pihak, sebuah tempat yang dipercayai kolam Puteri Saadong terletak di Kampung Serendah Sekebun Bunga, Ketereh, Kota Bharu, dilihat berpotensi dijadikan sebagai kawasan pelancongan.
Kawasan seluas hampir tiga ekar itu terletak di pinggir Sungai Kelantan dan dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Puteri Saadong pada zaman awal kesultanan Kelantan.
Puteri Saadong dikatakan anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang iaitu raja perempuan pertama dalam sejarah kesultanan Kelantan.
Menurut penduduk tempatan, Zakaria Mahammad, 85, kawasan itu merupakan taman persiaran Puteri Saadong dan berhampiran kawasan itu dipercayai terletaknya sebuah istana pada zaman silam.
"Tetapi kini yang tinggal hanya kolam ini, suatu masa dulu ia menjadi tumpuan kerana dipercayai air yang diambil daripada kolam ini boleh dibuat penawar pelbagai penyakit.
"Sekarang keadaannya agak terbiar, tetapi ada seorang penjaga yang bertanggungjawab memelihara kawasan ini, " katanya ketika ditemui media, dalam tinjauan bersama PKR Cabang Ketereh, hari ini.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, taman yang dilengkapi tiga wakaf itu kini diselia oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK).
Seorang anak tempatan iaitu Mohd Sidek Mat Husain diamanahkan oleh pihak PMNK untuk menjaga kawasan itu.
Perlu naik taraf
Menurut Mohd Sidek, kawasan itu dilihat berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan sekiranya ada pihak khususnya kerajaan negeri dapat menaik taraf dengan kemudahan yang lebih baik.
"Pada pendapat saya ini adalah warisan sejarah yang perlu dipelihara dan kewujudan kolam Puteri Saadong ini perlu dihebahkan kepada orang ramai termasuk pelancong luar.
"Kawasan ini mempunyai tarikan tersendiri khususnya dalam aspek sejarah," katanya.

Tambah Mohd Sidek, antara perkara yang dianggap "misteri" berkaitan kolam Puteri Saadong ialah airnya yang tidak pernah surut atau kering.
"Kolam ini tidak pernah kering airnya, walaupun pada musim kemarau. Tetapi ia terdedah kepada banjir khususnya pada musim tengkujuh.
"Mungkin lokasinya terletak di tepi Sungai Kelantan, bila air sungai melimpah kawasan ini akan tenggelam," katanya.
Sementara itu, Naib Ketua PKR Cabang Ketereh, Mohd Sukirman Mustaffa berkata, pihaknya menggesa agar kerajaan negeri agar mengambil perhatian terhadap kewujudan bahan sejarah itu.
"Kerajaan negeri melalui agensi yang berkaitan diharap dapat memajukan kawasan ini khususnya dijadikan tempat tarikan pelancong.
"Kita lihat ia berpotensi besar sebagai produk pelancongan di samping menarik perhatian pengkaji-pengkaji sejarah untuk membuat kajian berkaitan sejarah Puteri Saadong atau kesultanan Kelantan.
"Kawasan ini perlu diberi nafas baru dengan penyediaan infrastruktur lebih baik dan dipromosi sewajarnya. Kita yakin ia dapat menarik perhatian khalayak umum," jelasnya.
