Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes pecah amanah RM6.6b Najib, Irwan: Pendakwaan senarai 138 saksi

Hampir separuh daripada 138 saksi dijangka akan dipanggil ke mahkamah tinggi dalam kes pecah amanah yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas setiausaha perbendaharaan negara Irwan Serigar Abdullah.

Kes pecah amanah ini melibatkan penyelewengan dana milik kerajaan sebanyak RM6,636,065,000.

Semasa pengurusan kes untuk kali pertama di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, timbalan pendakwaraya Jamil Aripin berkata pasukan pendakwaan telah menyenaraikan seramai 138 saksi bagi kes ini.

Mohd Nazlan menetapkan perbicaraan kes dari 8 Julai sehingga 22 Ogos 2019 ini.

Bercakap kepada media kemudian, Jamil berkata hanya separuh daripada saksi itu akan dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

"Kami telah menyenaraikan 138 saksi tetapi tidak semua mereka akan dipanggil. Kami menjangkakan akan memanggil 70 saksi dan selebihnya akan dipanggil bergantung kepada keadaan," katanya.

Ada dokumen sulit OSA

Jamil telah memberitahu hakim pihak pendakwaan telah menyerahkan kira-kira 80 peratus dokumen kepada pasukan pembelaan, manakala bakinya akan diberi pada 15 Februari depan.

"Pada peringkat ini, kami telah menyerahkan 80 peratus dokumen dan kami akan memberikan dokumen selebihnya kepada pasukan peguam bela pada 15 Februari.

"Kami perlukan masa kerana beberapa dokumen diklasifikasikan sebagai 'sulit' di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Kami perlukan masa bagi proses deklasifikasi," katanya.

Ketika prosiding, Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan dan meminta dibicarakan.

Sementara itu, ketua pasukan peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah (gambar) berkata pasukan pembelaan akan memfailkan permohonan supaya hakim Mohd Nazlan tidak mendengar kes ini.

Menurut Shafee, ini kerana hakim Mohd Nazlan juga turut mendengar kes pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Peguam belas Irwan, Geethan Ram turut mengikuti permohonan Shafee bagi memohon hakim ditukar.

Oktober lalu, Najib, 65 dan Irwan, 61 dikenakan pertuduhan di Mahkamah Seksten terhadap enam dakwaan pecah amanah melibatkan RM6,636,065,000 milik kerajaan.

Kedua-dua dituduh melakukan kesalahan itu di bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya di antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Najib dan Irwan didakwa mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bulan lalu, mahkamah sesyen membenarkan permohonan Najib supaya kes tersebut dipindahkan ke mahkamah tinggi.

[Baca berita penuh]

ADS