Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan penerbitan akhbar Wilayahku yang dilancarkan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad minggu lalu.
Najib turut menyindir penjelasan Khalid berkenaan penerbitan akhbar itu, dengan nada sinis yang mula sinonim dengannya pascaPRU ke-14.
"Menteri Wilayah kata akhbar Wilayahku bukan propaganda Pakatan Harapan (PH). Tapi muka depan naskah pertama amat menarik. Wajah hensem siapa di sana?" katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
"Kalau boleh besarkan lagi gambar itu. Terlalu kecil nanti pembaca tak nampak," katanya lagi.
Beliau merujuk gambar Khalid yang dipaparkan di muka depan edisi sulung akhbar itu, diiringi tajuk "Kebajikan warga kota".
Menurut Khalid ketika pelancarannya, Wilayahku bukanlah propaganda PH tetapi sebagai media penghubung antara kerajaan dan penduduk di ibu kota.
Akhbar percuma dengan 24 halaman itu diterbitkan Wilayah Media Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik Yayasan Wilayah Persekutuan.

Pasukan Wilayahku merangkumi tiga wartawan, seorang jurugambar, seorang jurutadbir. Wartawan yang kini menjadi setiausaha akhbar Khalid, Zulkifli Sulong menjadi ketua pengarang dan Helmi Mohd Foad sebagai editor.
Najib mengulas kenyataan Khalid bahawa akhbar itu merupakan projek untuk kroni, seperti yang didakwa Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh Razlan Rafii.
"Bukan kronisme juga, dia kata. Tapi ketua pengarang dan pun setiausaha akhbar menteri sendiri."
Beliau juga mempersoalkan sumber dana yang digunakan untuk menerbitkan akhbar itu, sama ada dari "wang rakyat atau dari pelabur asing RM1.6 trilion.
Ia - sekali lagi - sindiran terhadap Khalid yang sebelum ini dilaporkan berkata ada individu dari Qatar yang mahu melabur AS$400 bilion (RM1.6 trilion) dalam projek kereta nasional ketiga.
Menjawab tuduhan kronisme, Khalid seperti dipetik Free Malaysia Today menjelaskan pencetak dipilih oleh Yayasan Wilayah Persekutuan dan bukan dirinya, dan peranan Zulkifli hanya menawarkan bantuan profoesional dengan menjadi ketua pengarang.
