Stesen radio BFM 89.9 telah menamatkan perkhidmatan dua kakitangannya selepas siasatan dalaman syarikat itu terhadap dakwaan gangguan seksual.
BFM berkata lembaga pengarah syarikat berpendapat terdapat bukti mencukupi untuk membuang pekerja terbabit.
"BFM telah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan disiplin yang tertinggi
dengan menamatkan perkhidmatan pekerja yang tertuduh.
"Pihak pengurusan BFM tidak membuat laporan polis kerana pengadu tidak mahu melanjutkan perkara itu, pada masa tersebut,” kata pengasas stesen itu, Malek Ali dalam suatu kenyataan hari ini.
Dakwaan tersebut dikemukakan dalam surat tanpa nama yang diedarkan kepada pelbagai organisasi berita termasuk Malaysiakini bulan lepas.
Tak buat laporan polis
Surat itu dikatakan ditulis oleh bekas pekerja BFM dan memperincikan beberapa contoh salah laku seksual yang didakwa cuba ditutup pengurusan stesen berkenaan.
Mengenai tuduhan rogol yang terperinci dalam surat tersebut, Malek berkata pengurusan BFM pertama kali menyedari perkara berkenaan pada Mei 2017 dan segera melancarkan siasatan dan telah menamatkan khidmat pelaku yang dikatakan itu.
"Dua pekerja telah diberikan surat tamat perkhidmatan, atas sebab salah laku. Lembaga Pengarah mendapati, wujud bukti yang mencukupi untuk mengambil tindakan ini.
"Pihak pengurusan BFM tidak membuat laporan polis kerana pengadu tidak mahu melanjutkan perkara itu, pada masa tersebut,” kata Malek (gambar).
BFM sebelum ini telah melantik satu pasukan peguam untuk menyiasat dakwaan yang terperinci dalam surat tanpa nama pada bulan lalu.
Malek berkata pasukan tersebut sudah mengemukakan penemuannya kepada lembaga pengarah syarikat pada minggu lalu.
Lembaga itu telah bermesyuarat dan menyampaikan keputusannya kepada pasukan pengurusan BFM, katanya.
Melangkah ke hadapan, Malek berkata pengurusan stesen itu sedang mengusahakan sistem baru untuk mengatasi aduan pekerja dan mensasarkan sistem baru itu dapat diwujudkan dalam tempoh empat minggu.
Di samping itu, semakan dasar dan garis panduan dalaman BFM sedang dijalankan.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan pekerja kami berasa selamat dalam persekitaran kerja kami.
"Sebagai sebahagian daripada penilaian semula ini, kami juga akan melaksanakan latihan dan program kesedaran untuk semua pekerja; diharapkan langkah ini akan dapat mengetengahkan, secara jelas, parameter kelakuan yang diterima dan tidak boleh diterima di tempat kerja, dan kesan sebarang salah laku," jelasnya lagi.