Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Pahang turut disiasat pembelian undi di Cameron Highlands
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 9:33 AM
Dikemaskini: 6:39 AM

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail didakwa turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian undi di kerusi parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Beliau dilaporkan dipanggil untuk disoal siasat atas dakwaan membayar pengundi pada PRU berkenaan.

"Semua yang dapat membantu siasatan akan dipanggil.

"Setakat ini, Wan Rosdy dan C Sivarraajh sudah diambil keterangan dan individu lain yang dapat membantu siasatan akan dipanggil dalam masa terdekat," kata sumber dipetik The Malaysian Insight.

Malaysiakini cuba menghubungi SPRM, Wan Rosdy dan MIC berhubung perkara ini.

Pada 9 Mei tahun lalu, Wan Rosdy memenangi kerusi DUN Jelai yang terletak di bawah parlimen Cameron Highlands dengan 3,507 majoriti undi.

Beliau juga merupakan ketua Umno Cameron Highlands dan pengerusi BN parlimen berkenaan sejak 2008.

Pada PRU ke-14, Sivarraajh memenangi kerusi Cameron Highlands dalam pertembungan lima penjuru dengan 10,307 undi, iaitu hanya beza 597 undi berbanding pencabar terdekatnya, calon DAP M Manogaran.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan kerusi berkenaan dikosongkan selepas mendapati berlaku pembelian undi yang membawa kepada kemenangan Sivarraajh.

Meskipun tidak dinamakan dalam penghakiman mahkamah, pendakwaan dikatakan turut mendakwa Wan Rosdy terlibat dalam pembelian undi bagi memenangkan BN.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Jan.

DAP mencalonkan Manogaran sekali lagi, sementara M Kayveas dari MyPPP turut mengesahkan akan bertanding.

BN belum mengumumkan calon mereka, namun kerusi berkenaan merupakan kerusi tradisi MIC.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan tidak dibenarkan mengundi dalam tempoh lima tahun.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan permohonan naib presiden MIC itu untuk mencabar keputusan SPR.

PAS dan PSM sebelum ini memaklumkan tidak akan bertanding dalam PRK berkenaan. PAS bagaimanapun akan menyokong calon pembangkang yang dipilih pihak mereka.

[Baca berita asal]

ADS