Hakim: Fawziah Holdings berhak dapat gantirugi dari Metramac
Seorang hakim Mahkamah Rayuan menegaskan Fawziah Holdings Sdn Bhd berhak mendapat gantirugi kehilangan hak pengiklanan daripada Metramac Corporation Sdn Bhd.
Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, seorang daripada anggota panel tiga hakim yang membuat keputusan memberi ganti rugi kepada Fawziah Holdings itu berkata, syarikat tersebut berhak mendapat hak pengiklanan tersebut dan Metramac tidak harus mempertikaikan hak itu.
Beliau menyatakan demikian dalam keputusan bertulis setebal 32 halaman yang memperincikan keputusan mahkamah yang mengarahkan Metramac Corporation Sdn Bhd, pengendali tol, untuk membayar RM65 juta kepada syarikat pembinaan Fawziah Holdings Sdn Bhd sebagai ganti rugi kerana kehilangan hak pengiklanan.
Menurut laporan Bernama , hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Hakim Gopal Sri Ram dan Hakim Datuk Hashim Yusoff.
Ia mengeluarkan keputusan pada 12 Januari dalam kes yang dikemukakan oleh Fawziah Holdings terhadap Metramac sebagai defendan tunggal.
Metramac ialah pemilik dan pengendali Lebuhraya Timur-Barat (Karak-Kuantan) dan Lebuhraya Sungei Besi.
Datuk Fawziah Abdul Karim dan ibunya Maimon Bee adalah pengarah dan pemegang saham Fawziah Holdings dan mereka juga adalah pengarah dan pemegang saham Syarikat Teratai K.G. Sdn Bhd (STKG), sekarang dikenali sebagai Metramac.
Pada 7 Mac 1995, Fawziah Holdings memfailkan tindakan kerana melanggar kontrak terhadap Metramac dan menuntut RM65 juta sebagai ganti rugi kerana kehilangan hak pengiklanan dan keuntungan kontrak masa hadapan.
Metramac memfailkan tuntutan balas bagi memohon beberapa perisytiharan, termasuk beberapa fasal tertentu sebagai batal dan tidak sah.
Ia juga memohon akaun bagi semua hasil yang diterima oleh Fawziah Holdings di bawah perjanjian itu.
Fakta kes dan dapatan
Keputusan itu meringkaskan fakta penting kes dan dapatan sewajarnya daripada bukti lisan dan bertulis seperti berikut:
1. Plaintif dan defendan diperbadankan sebagai syarikat-syarikat
keluarga di mana Datuk Fawziah dan Puan Maimon adalah pemegang saham dan pengarahnya.
2. Defendan sebelum itu dikenali sebagai Syarikat Teratai K.G. Sdn Bhd (STKG). Ia hanya menukar namanya kepada Metramac Corporation Sdn Bhd pada 4 Mac 1991 selepas ia dibeli oleh Metro Juara Sdn Bhd.
3. Pada Julai 1986, Datuk Fawziah, menerusi syarikatnya STKG, membida tender terbuka yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mereka bentuk, membina, membiayai dan mengendalikan penswastaan beberapa batang jalan tertentu di kawasan KL.
4. Menerusi Surat Hasrat bertarikh 25 Ogos 1987, DBKL mengumumkan bahawa syarikat konsesinya mestilah STKG sebagai pembida.
5. STKG menandatangani perjanjian konsesi pertama bertarikh 20 Nov 1987 dengan DBKL.
6. Fasal material dalam perjanjian konsesi itu ialah fasal "hak tanah" yang daripada fasal itu timbul perjanjian pelesenan untuk hak papan tanda yang memihak kepada STKG dan kemudiannya Fawziah.
7. Hak papan tanda itu merujuk kepada hak pengiklanan menerusi papan tanda dan papan iklan dan lain-lain di sepanjang jalan konsesi yang akan dibina oleh STKG di dalam kawasan konsesi.
8. Pada 12 Sept 1990, DBKL memaklumkan kepada STKG supaya menggantung semua kutipan tol di Cheras berikutan tunjuk perasaan oleh orang awam yang membantah bayaran tol yang dikenakan.
9. STKG mengemukakan pengiraannya bagi menuntut ganti rugi atas penamatan itu di bawah fasal 16.2 daripada perjanjian konsesi pertama. Jumlah ganti ruginya dianggarkan sebanyak RM764.2 juta. Termasuk dalam jumlah keseluruhan itu ialah satu jumlah yang telah diperincikan sebanyak RM78.5 juta kerana pembatalan kontrak pengiklanan.
10. DBKL bersetuju secara prinsipnya kepada pilihan menamatkan perjanjian konsesi berkenaan dan membayar ganti rugi walaupun tiada jumlah disebutkan. UEM (United Engineers Malaysia Bhd) kemudian membuat tawaran rasmi kepada STKG untuk membeli STKG daripada pemegang saham semasanya.
Surat itu ditandatangani oleh Anuar Othman dengan Datuk (kini Tan Sri) Halim (Saad) yang merupakan para pemegang saham dan pengarah Metro Juara, sebuah syarikat nominee UEM. Tawarannya ialah sebanyak RM97.5 juta.
11. Para pemegang saham sedia ada STKG diberitahu oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan tidak berada pada kedudukan yang mampu untuk membayar ganti rugi berkenaan kepada mereka.
12. Skim untuk mengambil alih konsesi berkenaan oleh UEM jelas memerlukan satu perjanjian konsesi baru ditandatangani dengan DBKL.
13. Pengambilalihan oleh Metro Juara dilakukan menerusi perjanjian penjualan saham yang ditandatangani pada 23 Jan 1991. Pada 4 Mac 1991, para pemilik barunya menukarkan nama STKG kepada Metramac Corporation Sdn Bhd.
Keputusan penghakiman
Dalam keputusannya, Hakim Zulkefli berkata penghujahan Metramac bahawa perjanjian konsesi dengan DBKL tidak memberikan hak pengiklanan dan pihak-pihak berkenaan telah meneruskannya berdasarkan tanggapan salah adalah hujah yang terlambat dan sengaja diadakan-adakan tanpa sebarang
asas.
Beliau berkata hak papan tanda atau hak pengiklanan atau hak pelesenan iaitu pelbagai nama yang diberikan kepadanya membentuk sebahagian daripada "hak-hak tanah" seperti yang didefinisikan di dalam perjajian konsesi pertama.
Satu perjanjian pelesenan rasmi telah ditandatangani antara STKG dan DBKL pada 31 Januari 1989 selepas tanah-tanah dalam kawasan konsesi itu dikenal pasti.
"Perjanjian pelesenan itu menyatakan ia merujuk kepada perjanjian konsesi itu sebagai sumber. Menerusi perjanjian pelesenan itu kawasan konsesi menjadi 'premis yang dilesenkan' yang memberikan STKG lesen eksklusif untuk melakukan beberapa perkara di dalam kawasan konsesi seperti mendirikan bangunan," kata hakim itu.
Beliau berkata pihak defendan berhujah bahawa perkataan "iklan" tidak harus dilihat daripada sudut komersial tetapi secara terhad daripada sudut bukan komersial.
"Saya mendapati hujah ini, secara hormat, tidak munasabah kerana perjanjian pelesenan ialah satu dokumen komersial yang memberi hak kepada STKG untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan komersial di dalam kawasan konsesi di mana STKG dikehendaki membuang semua papan tanda dan kedai-kedai
yang menjual barangan apabila mengosongkan premis yang dilesenkan itu.
"Dapatan saya ialah antara November 1987 dan Februari 1992 (pada masa perjanjian konsesi yang pertama ditamatkan) ketiga-tiga pihak - plaintif, defendan dan DBKL - bertindak berasaskan bahawa hak pengiklanan seperti itu wujud sebagai sebahagian daripada 'hak-hak tanah' di sepanjang jalan-jalan konsesi," katanya.
Zulkefli juga menarik perhatian bahawa fasal 2.2 dalam penyusunan semula perjanjian jualan antara Fawziah dan STKG pada 31 Mac 1989 menangani hak-hak pengiklanan yang diletakkan oleh STKG kepada plaintif.
"Jadi boleh dikatakan bahawa defendan adalah pihak yang terlibat dalam semua perjanjian di atas dan mengiktiraf bahawa hak pengiklanan seperti itu wujud dan diletakkan kepadanya," kata beliau.
Tambahan lagi, katanya, pemahaman terhadap kewujudan hak-hak pengiklanan itu tidak boleh berubah hanya semata-mata kerana pemegang sahamnya telah berubah.
Beliau berkata pemberian hak pengiklanan oleh STKG kepada plaintif di bawah perjanjian penjualan yang dijadual semula adalah satu pertimbangan bagi plaintif dengan mengandaikan tanggungan STKG daripada segi perniagaan bukan kutipan tol dan untuk memastikan perniagaan konsesi STKG diasingkan daripada perniagaan bukan tol.
Projek konsesi itu kemudian telah berjaya dibiayai dan dilaksanakan. Ia menghasilkan keuntungan yang besar kepada defendan selain kepada para pemegang saham Metro Juara, pemegang saham berikutnya bagi defendan.
Fawziah diwakili oleh peguam Datuk Dr Cyrus Daz manakala Datuk Muhammad Shafee Abdullah mewakili Metramac.