Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tegur secara dalaman? Macam pernah dengar, sindir Azmin
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 11:30 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam balasan ciapan Twitter Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mengingatkan berhubung penggunaan platform dalaman untuk membuat teguran antara pemimpin parti politik.

Maria Chin sebelum itu mengulang ciap laporan berita yang memetik dakwaan pemimpin Bersatu Wan Saiful Wan Jan berhubung amalan kronisme dalam kalangan Bersatu Perlis, dengan menambah: "Saya sokong Wan Saiful. Ini adalah apa yang rakyat undi."

Ciapan balas Mohamed Azmin ke atas kenyataan Maria itu dipercayai sebagai cubaan mengusik pihak yang menegurnya kerana membuat bantahan terbuka berhubung pelantikan PKR yang dibuat presiden partinya, Anwar Ibrahim.

"Sebaiknya tegur secara dalaman. Banyak platform telah disediakan untuk membuat teguran. Macam pernah dengar. Hehehe," kata Mohamed Azmin dalam ciapan balas kepada Maria itu.

Dalam perkembangan berhubung pelantikan PKR yang dibuat Anwar, Setiausaha Agung PKR semalam menasihatkan agar Mohamed Azmin mengikut platform yang disediakan bagi menyampaikan bantahan.

Saifuddin memberi nasihat itu selepas Mohamed Azmin mempertahankan tindakan menyatakan bantahan terbuka berhubung pelantikan parti.

Mohamed Azmin menjelaskan bahawa ada isu tertentu yang memerlukannya membuat kenyataan terbuka dan beliau sudah berjumpa dengan Anwar beberapa kali membincangkan pelantikan berkenaan.

Ciapan Maria yang dibalas Mohamed Azmin merujuk kepada siasatan laporan polis Wan Saiful pada 15 Dis berhubung dakwaan salah laku melibatkan individu dalam Bersatu Perlis.

Dalam laporan polis itu, Wan Saiful mendakwa individu berkenaan menggunakan identiti sebagai pengerusi (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) PTPTN untuk menyewa dua kereta dan memalsukan dokumen serta tandatangannya bagi membuat bayaran RM188,000 kepada sebuah syarikat.

Wan Saiful juga mendakwa terdapat pihak yang menggesa beliau menarik balik laporan polis berkenaan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Wan Saiful digugurkan sebagai setiausaha Bersatu Perlis.

Pengerusi Bersatu Perlis mendakwa alasan penguguran berkenaan adalah kerana Wan Saiful "sibuk sangat dengan kemelut PTPTN".

 

ADS