Metramac Corporation memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan yang mengarahkan syarikat itu membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd semalam.
Peguam Metramac, Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Bagaimanapun, menurutnya, tarikh mendengar permohonan tersebut masih belum ditetapkan oleh mahkamah.
Menurut laporan Bernama, Metramac dipercayai memohon penangguhan itu sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.
Pada 12 Jan lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara memerintahkan syarikat konsesi lebuh raya itu membayar jumlah tersebut kepada syarikat pembinaan terbabit, Fawziah Holdings, sebagai ganti rugi kerana kehilangan hak pengiklanan.
Keputusan kes itu mendapat perhatian meluas apabila Hakim Datuk Gopal Sri Ram menyatakan pandangannya bahawa ahli korporat terkemuka yang terbabit, Tan Sri Halim Saad dan bekas rakan perniagaannya Datuk Anuar Othman telah mengambil sejumlah RM32.5 juta daripada Metramac.
Dakwaan itu telah dinafikan oleh Halim menerusi satu kenyataan.
