Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan presiden DPMM mohon perintah injuksi halang laksana usul AGM
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan 17 lagi memfailkan permohonan bagi menghalang presidennya Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir dan setiausaha agung pertubuhan itu, Don Nazwim Don Najib daripada melaksanakan usul yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) pada 22 Nov 2018.

Dalam mesyuarat itu, antara usul yang diputuskan ialah Syed Hussein Alhabshee dan 17 yang lain digugurkan daripada jawatan masing-masing secara automatik sebagai anggota Majlis Eksekutif DPMM (MED) kerana menganjurkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Dalam permohonan yang difailkan pada 12 Dis 2018, kesemua plaintif turut memohon perintah bagi menghalang kedua-dua defendan daripada melaksanakan pelantikan empat anggota MED oleh Rizal Faris semasa Mesyuarat Majlis Eksekutif DPMM dan perintah supaya defendan-defendan mengekalkan status quo seperti sedia ada setakat 20 Nov 2018.

Plaintif membuat permohonan itu dengan alasan AGM yang telah diadakan adalah tidak sah, terbatal dan ultra vires perlembagaan DPMM disebabkan ia bertentangan dengan keputusan MED pada 8 Nov 2018, tidak mencapai korum yang mencukupi, agendanya cacat kerana usul tidak diedarkan kepada DPMM negeri dan usul melucutkan jawatan dan keanggotaan plaintif adalah pramatang serta mala fide.

Peguam Balan Nair Thamodaran yang mewakili kesemua 18 plaintif memaklumkan kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar, dan 15 Feb ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Pada 13 Sept 2018, Syed Hussein dan 17 yang lain selaku plaintif memfailkan saman pemula terhadap presiden, setiausaha agung dan DPMM bagi memohon perintah supaya diadakan EGM berhubung wang berjumlah RM5 juta yang diperuntukkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada persatuan itu dengan menamakan Rizal Faris, Don Nazwin dan DPMM sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Plaintif mendakwa pada atau sekitar Mei 2018, didapati Rizal Faris Mohideen menyebabkan penggunaan wang RM5 juta yang diperuntukkan oleh PMO kepada DPMM, tetapi jumlah itu tidak didepositkan ke dalam akaun DPMM sebaliknya dipindahkan kepada Yayasan DPMM Pulau Pinang Berhad tanpa kebenaran Majlis Eksekutif persatuan itu.

Selain itu, sejumlah RM1 juta dikredit kepada DPMM daripada suatu syarikat dikenali sebagai 'Redberry' dan defendan pertama membuat keputusan untuk menggunakan wang itu untuk kempen pilihan raya tanpa kebenaran Majlis Eksekutif DPMM.

Berhubung penjualan harta yang dimiliki DPMM di Bukit Damansara, persatuan itu memperoleh RM11.6 juta dan sebanyak RM5.6 juta sepatutnya dibayar kepada DPMM, bagaimanapun setakat ini terdapat hanya RM200,000 sahaja, manakala RM5.4 juta digunakan untuk kempen pilihan raya ke-14 tanpa kebenaran Majlis Eksekutif DPMM.

Plaintif mendakwa defendan pertama gagal memberikan sebarang penjelasan yang munasabah walaupun disoal tentang penyalahgunaan dan/atau pengendalian salah dana DPMM semasa mesyuarat eksekutif itu.

Sementara itu, suatu AGM untuk DPMM Negeri hendaklah diadakan sekali setahun pada atau sebelum 30 April dan berdasarkan nasihat defendan pertama, suatu resolusi diluluskan bahawa DPMM Negeri berhak mengadakan AGM masing-masing paling lewat pada atau 30 Sept 2018, manakala AGM untuk DPMM boleh ditangguh sehingga November 2018.

Plaintif berkata semua DPMM Negeri sudah mengadakan AGM masing-masing, dan wakil untuk semua DPMM Negeri berhak untuk mengundi semasa EGM itu.

Dalam saman berkenaan, kesemua plaintif memohon suatu perintah bahawa plaintif pertama iaitu Syed Hussein sebagai timbalan presiden DPMM mempengerusikan EGM dan anggota-anggota DPMM negeri berhak untuk mengundi semasa mesyuarat berkenaan menurut klausa 22 perlembagaan itu.

Menurut klausa 21.1.2 perlembagaan tersebut, mesyuarat agung tahunan (AGM) DPMM perlu diadakan sekali setahun pada atau sebelum 30 Jun, bagaimanapun sehingga hari ini persatuan itu masih belum mengadakan AGM bagi 2018.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS