Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenapa kita tak akan berhenti menakluk Antartika

WAWANCARA | Pada permulaan alaf baru ke-21, Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri waktu itu menjejakkan kakinya di Kutub Selatan, tindakan yang mengundang kritikan ramai pihak.

Mahathir bersama isterinya Siti Hasmah Mohamad Ali menyertai lawatan ke benua Antartika dari 6 hingga 13 Februari, 2002.

Bagaimanapun, lawatan delegasi negara itu dipertahankan saintis yang berpendapat tindakan tersebut menunjukkan hasrat dan iltizam negara terhadap penerokaan sains dan teknologi.

Mahathir, kanan sekali.

Sejak 1999, Malaysia telah menghantar puluhan pakar dan saintis melibatkan pelbagai bidang termasuk kimia, biologi, kejuruteraan dan fizik dalam misi penyelidikan ke benua itu.

Antara yang berpeluang menyertai misi penyelidikan tersebut ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir.

Hasil kajian 

Dr Shahrul yang juga merupakan ketua Pusat Sistem Tropika dan Perubahan Iklim di UKM menyertai penjelajahan ke Antartika pada Januari 2016.

Mengulas mengenai misinya, beliau berkata ia bukan sekadar untuk mengibarkan bendera Malaysia.

"Dua tahun lepas saya bersama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPSM). (Sultan Terengganu) Sultan Mizan (Zainal Abidin) ini suka Antartika, Mahathir suka Antartika.

"Kita buat kajian ini bukan nak jadi, oh Malaysia nombor satu, oh ini oh itu.. akhirnya apa yang jadi?

"Sekarang ini banyak politik dalam universiti nak kejar KPI di jurnal. Oh, siar saja di jurnal picisan asal bayar (mereka akan) siar.

"Kita tak nak macam itu. Kumpulan kami di UKM kami nak pastikan jurnal yang kami hasilkan adalah jurnal yang berkualiti dan hasil titik peluh saintis yang pergi ke Antartika. Bukan sekadar pergi ke Antartika kibar bendera balik tak ada apa-apa. Rakyat akan kritik!

"Saya pergi Antartika, saya nak tunjuk, saya ada buat (hasil kajian yang diterbitkan), misalnya jurnal Environmental Science and Pollution Research (ESPR)," katanya.

Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir ketika ke Antartika sebelum ini.

ESPR yang berpangkalan di Jerman menerbitkan hasil kajian, penyelidikan dan penemuan dalam semua bidang sains terutamanya mengenai subjek yang mengemukakan analisis kimia.

Hari ini Kutub Selatan menjadi medan penerokaan sains dan teknologi, dengan kira-kira 40 negara telah mendirikan pangkalan penyelidikan, yang dikawal selia Antarctic Treaty System (ATS).

Memandangkan Antartika menjadi satu-satunya benua tanpa habitat manusia, perjanjian ATS digubal pada 1961 dan kini diiktiraf 53 negara, termasuk Malaysia. Perjanjian itu melarang sebarang kegiatan ketenteraan di benua itu, selain memelihara Antartika bagi tujuan penyelidikan saintifik.

"Di Antartika itu tak ada penghuni tapi dia ada research base pusat penyelidikan. India, Korea Selatan, China pun ada.

"Sebab mereka prihatin," katanya ketika temu bual di pejabat Malaysiakini baru-baru ini.

Untuk rekod, Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ke-37 pada 1982 mengumumkan dasar negara mengenai Antartika.

Mahathir berkata tuntutan beberapa negara terhadap Antartika perlu dibatalkan dan benua itu menjadi hak milik semua negara. Perdana menteri ketika itu menggesa Antartika diisytiharkan sebagai "warisan bersama umat manusia."

"Benua Antartika milik masyarakat antarabangsa," kata Mahathir ketika berucap di PBB mengkritik eksploitasi sumber alam semula jadi di sana.

Di Kutub Selatan, Shahrul, seorang saintis atmosfera bumi melakukan penyelidikan berkaitan pemanasan global, punca masalah perubahan iklim.

“Saya kaji mengenai gas-gas di permukaan bumi dan lapisan ozon. Kenapa global warming orang cakap dia berkait rapat dengan Antartika?

"Kawasan kutub ini sebab bila berlakunya walau satu darjah (selsius) naik dia akan beri kesan kepada pencairan ais.

"Ini kenapa perubahan iklim, pemanasan global, bencana alam semua ini berkait rapat. Jadi itulah kenapa pentingnya (misi Antartika itu)," katanya lagi.

Dr Mohd Shahrul.

Menurut Shahrul, pencairan ais di Antartika akan menyebabkan kesan meningkatnya paras air laut yang boleh memudaratkan Malaysia.

“Apabila pencairan kawasan permukaan di Antartika berlaku disebabkan pemanasan global disebabkan kegiatan manusia, maka pencairan ais itu akan memberi kesan kepada peningkatan aras laut. Sebab itu negara, terutamanya semenanjung Malaysia sangat berisiko tinggi.

"Saya hanya boleh bagi perspektif pencemaran udara sebab macam kita di Khatulistiwa kita merupakan pintu utama pencemaran udara (zarah, gas pencemar) untuk bergerak ke mana-mana kawasan termasuk Antartika.

"Hal ini disebabkan iklim Malaysia berada dalam monsun cuaca panas dan lembap sepanjang tahun jadi proses-proses perolakan thermal (putaran arus udara panas dari sesuatu bahagian ke bahagian lain) dia akan naik dan dia akan bawa gas-gas ni.

"Jadi bila dia naik ke atas dia akan bergerak ke kawasan kutub," katanya.

Yeo Bee Yin 

Mengulas mengenai dasar alam sekitar pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Shahrul agak optimis.

“(Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) YB Yeo (Bee Yin) sendiri mengambil berat soal tenaga hijau.

"Jadi langkah-langkah contoh sekarang ini Petaling Jaya nak ke arah bandar pintar, macam DBKL tengok kalau digital board bandar raya bebas karbon menjelang 2030. Macam Shah Alam bandar raya bebas karbon.

“Jadi bebas karbon tu nak kurangkan pencemaran udara. Salah satu langkah nak kurangkan perubahan iklim sebab banyak karbon, karbon itu kita rujuk pada pollutant (zarah dan gas pencemar),” katanya.

September tahun ini, Dr Shahrul akan sekali lagi mengikuti misi jelajah saintifik ke Antartika. Bagaimanapun kali ini, beliau akan pergi melakukan penyelidikan bersama British Antartic Survey dari United Kingdom.


Wawancara dikendalikan Rahmat Haron dan Suzilawani Mustapha di pejabat Malaysiakini pada 27 Disember 2018 lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS