Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan digesa tak guna Akta Hasutan siasat kes hina sultan
Diterbitkan:  Jan 9, 2019 7:54 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Polis tidak sepatutnya menggunakan Akta Hasutan bagi menahan tiga individu yang didakwa menghina Sultan Muhammad V di media sosial, kata dua pemimpin muda DAP hari ini.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan peguam Syahredzan Johan dan ketua pemuda DAP Subang, Farhan Haziq Mohamed, pihak polis sepatutnya menggunakan peruntukan undang-undang selain Akta Hasutan bagi menyiasat ketiga-tiga individu tersebut.

“Kami menegaskan di sini bahawa kami mengecam kenyataan individu-individu yang mengeluarkan ekspresi yang dianggap menghina terhadap baginda Sultan Muhammad V. 

"Kami menyeru supaya rakyat Malaysia menghormati sistem raja berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa yang sama, kami membantah penahanan ke atas tiga individu tersebut di bawah Akta Hasutan. 

"Kami mengambil pendirian bahawa walaupun apa yang didakwa telah dimuat naik oleh mereka adalah menjelikkan dan tidak dapat diterima masyarakat secara amnya, mereka tidak wajar ditahan di bawah Akta Hasutan.

“Pakatan Harapan (PH) di dalam manifesto juga telah berjanji untuk menghapuskan Akta tersebut di dalam Janji 27,” kata mereka.

Untuk rekod, Syahredzan juga merupakan setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Tambah mereka lagi, biarpun jemaah menteri PH telah memutuskan untuk menarik balik moratorium ke atas Akta Hasutan susulan daripada kes rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman tahun lepas, kes bagi ketiga-tiga individu tersebut tidak tergolong dalam kategori yang sama.

“Kami tidak melihat ekspresi ketiga-tiga individu tersebut sebagai tergolong dalam kategori yang disebutkan itu, walaupun ekspresi tersebut wajar dikecam.

“Keputusan pihak polis untuk menahan mereka di bawah Akta Hasutan adalah bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan, dan melanggar moratorium yang telah dikenakan, dan kami menggesa supaya mereka dilepaskan dengan segera.

“Kami juga ingin mencadangkan kepada pihak polis, sekiranya perlu untuk menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada selain Akta Hasutan bagi menyiasat ketiga-tiga individu tersebut, walaupun kami tidak lihat keperluan untuk menahan mereka melebihi 24 jam,” kata mereka lagi.

Mereka juga menggesa agar kerajaan mempercepatkan usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto PH.

Semalam, pihak polis menahan tiga individu yang memuat naik komen di media sosial yang didakwa berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Petuan Agong XV.

Ketiga-tiganya disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, menurut satu kenyataan oleh Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun hari ini.

Katanya, penahanan tersebut dilakukan kerana polis menerima beberapa laporan oleh orang awam.  

Lihat Komen
ADS