Paling Popular
Terkini

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berharap semua pihak khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat berkongsi data mengenai jenayah membabitkan kanak-kanak dengan kementerian yang berkaitan.

Yeoh berkata, ini kerana dasar data terbuka itu dapat memberi banyak manfaat kepada pihak yang berkaitan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil dalam menangani peningkatan kadar jenayah yang melibatkan golongan terbabit.

“Jenayah membabitkan kanak-kanak di negara ini adalah tanggungjawab semua pihak dan langkah pencegahannya juga membabitkan semua agensi.

“Jadi, perkongsian data adalah penting bagi memastikan pihak berkaitan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup forum ‘Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan?’, di Maktab PDRM di Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada forum anjuran mahasiswa Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Universiti Kebangsaan Malaysia - PDRM sesi 2018/2020 itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim.

Ia turut disertai panel berpengalaman iaitu Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi merangkap Ketua Unit Neonatal Jabatan Paediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Irene Cheah Guat Sim serta Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Kunasundary Marimuthu manakala profesor undang-undang dari UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal bertindak sebagai pemudah cara.

Bangunkan sistem saringan

Mengulas lanjut berhubung peningkatan kadar jenayah membabitkan kanak-kanak, Yeoh berkata golongan ibu didapati menjadi dalang utama dalam kes penderaan kanak-kanak di negara ini dengan keseluruhan 7,564 kes yang direkodkan antara 2013 hingga Jun tahun lalu.

Yeoh berkata untuk tempoh yang sama, kes dera membabitkan bapa sendiri pula adalah sebanyak 5,012 kes.

“Statistik berkenaan sememangnya mengejutkan kerana ibu adalah individu yang paling rapat dengan kanak-kanak.

“Walaupun undang-undang sedia ada sudah mencukupi dalam menangani kes penderaan kanak-kanak, langkah pencegahan adalah pendekatan terbaik bagi menurunkan statistik berkenaan.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mendapatkan idea mahu pun kaedah lebih berkesan bagi membanteras jenayah itu,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim

Manakala mengulas lanjut mengenai kes jenayah terutama membabitkan penderaan kanak-kanak, Yeoh berkata, pihaknya kini bersama-sama agensi seperti mahkamah, PDRM dan Jabatan Penjara sedang membangunkan sistem bagi menyaring secara dalam talian individu yang akan bekerja atau diambil bekerja dengan kanak-kanak.

Katanya, sistem itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini dan akan dapat membantu pihak yang berkenaan mendapat maklumat yang diperlukan.

“Selain itu, kementerian juga sedang merangka pelan strategik bagi mengenal pasti kawasan-kawasan perumahan yang berisiko dan yang merekodkan jumlah tertinggi kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Dengan kaedah itu, kementerian akan dapat mengenal pasti kawasan yang terbabit dengan jenayah kanak-kanak, sekali gus membolehkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran diadakan bagi menanganinya,” katanya.

Yeoh yang juga anggota Parlimen Segambut berkata, pihaknya dan Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan butiran sukatan pelajaran pendidikan seks di sekolah.

"Pendidikan seks adalah satu kemestian kerana penglibatan pelajar dalam tabiat seksual adalah tinggi,” katanya.

Lihat Komen
ADS