Malaysiakini BERITA

'Tok batin tak sokong PH, jangan bayar gaji dia'

Annabelle Lee

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK CAMERON l Ketua-ketua kampung Orang Asli atau tok batin di Cameron Highlands mungkin kehilangan gaji dan jawatan mereka jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil 26 Jan ini.

Amaran itu dinyatakan oleh senator PKR, Bob Manolan Mohd pada sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai pagi ini.

"Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu Batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

"Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

"Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia," katanya.

Bob sendiri berasal dari masyarakat Orang Asli dan mewakili komuniti itu di Dewan Negara.

Menurut Bob, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kini perlu menyokong agenda kerajaan.

Mereka yang hadir dalam majlis itu terdiri daripada ketua-ketua dan wakil daripada 18 perkampungan Orang Asli Semai dari kawasan terbabit.

Sebelum ini ketua-ketua kampung Orang Asli dibayar antara RM800 dan RM1,200 berdasarkan jumlah penduduk dan keluasan sesuatu kampung berkenaan.

Bob menjelaskan, kerajaan PH hanya mahukan ketua-ketua kampung yang boleh bekerjasama dengan mereka demi kebaikan rakyat.

"Kalau mereka tak boleh bekerjasama dengan kerajaan sekarang ini, bagaimana kita nak lantik dia jadi pemimpin masyarakat kampung?

"Dasar kerajaan sekarang bukan seperti kerajaan dahulu, kerajaan sekarang pemimpin Orang Asli itu mesti membela nasib anak buah mereka, kebajikan mereka

"Masalah kampung mesti mereka ketengahkan kepada kerajaan, bukan mengikut kerajaan dulu, angguk-angguk yes-yes semua.

"Janji duit masuk tiap-tiap bulan. Ini kita tak boleh terima," katanya.

'Kapal' Ramli nak tenggelam

Sementara itu, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menggesa ketua-ketua masyarakat Orang Asli agar tidak menyokong calon BN, Ramli Mohd Nor.

Ramli merupakan bekas pegawai tinggi polis yang pernah memegang jawatan tertinggi di kalangan Orang Asli dalam pasukan keselamatan itu.

"Walaupun calon dia bagus daripada Orang Asli tetapi parti yang diduduki ialah parti yang nak mati. Betul?

"Walaupun orang itu bagus, tapi parti yang dia duduk parti yang nak mati, macam mana nak bawa?" soalnya.

Dalam pada masa sama, Bob juga menggesa mereka menolak Ramli pada pilihan raya kecil itu kerana didakwa bersama parti yang 'menipu' Orang Asli.

"Kenapa bersekongkol dengan parti yang tipu Orang Asli? Mana maruah dia? " soal beliau.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, Anggota Parlimen Bentong Wong Tack, Adun Ketari, Young Syefura dan senator Adrian Lasimbang turut bercakap pada majlis itu.

Sesi dialog itu dianjurkan oleh pusat khidmat parlimen Raub dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa) Kuala Lipis.

Penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan esok (12 Jan) manakala hari mengundi ditetapkan pada 26 Jan.

Berdasarkan data pada PRU14, kawasan parlimen itu terdiri daripada kira-kira 20 peratus masyarakat Orang Asli.

Selain Ramli, timbalan pengerusi DAP Pahang M Manogaran dan Presiden MyPPP yang dipertikaikan, M Kayveas turut mengumumkan sebagai calon dalam PRK berkenaan.