Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian perkenal sistem dalam talian rekod kehadiran murid

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata pihaknya akan memulakan sistem merekod jadual kehadiran harian murid melalui sistem dalam talian secara berperingkat bermula bulan ini.

Ia merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini dalam usaha meringankan beban guru.

Selain itu, Maszlee turut memaklumkan pihaknya juga mengkaji untuk menggunakan sistem pengecaman wajah bagi sistem kehadiran murid.

“Sistem kehadiran murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya sebagai sumber rekod, justeru guru tidak lagi perlu mengisi buku jadual kedatangan murid

“Teknologi menyaksikan penggunaan sistem ‘pengecaman wajah’ yang lazimnya wujud dalam telefon pintar, justeru kita sedang meneliti kemungkinan menggunakan pendekatan ini, namun bukan dalam jangka pendek,” kata Maszlee.

Maszlee berkata demikian dalam ucapan amanatnya di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan empat inisiatif lain dengan matlamat utamanya untuk memansuhkan tugas perkeranian guru.

Katanya, dalam usaha memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi yang membabitkan tiga intervensi demi merungkai kemelut pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Inisiatif kedua ialah pengurusan data dan sistem dalam talian, merangkumi pelaksanaan dua intervensi yang menyaksikan semua pengumpulan data diambil daripada sumber maklumat sedia ada dalam sistem Kementerian Pendidikan,” katanya.

Katanya lagi, seiring pemansuhan peperiksaan Tahap 1, sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan literasi dan numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid.

Selain itu, antara inisiatif lain juga merangkumi penyeragaman borang dan proses pemantauan menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi dibebani tugas perkeranian.

“Inisiatif terakhir ialah penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, menerusi dua intervensi untuk memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

“Lima inisiatif ini hanya langkah pertama, manakala percaturan fasa kedua membabitkan penyediaan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran terbaik.

“Kementerian dalam penelitian khas untuk melihat semula sistem latihan warga pendidik di Insititut Pendidikan Guru (IPG) supaya ia diperkasakan, bukan hanya sekadar menukar nama maktab saja,” katanya.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Maszlee berkata, inisiatif terbaru itu mampu mengurangkan 25 peratus beban yang ditanggung guru.

“25 peratus beban guru akan dapat dikurangkan. Kita sasar (nak kurangkan) 50 peratus,” katanya.

Berkaitan sistem pengecaman wajah bagi merekod kehadiran murid pula, Maszlee berkata ia akan diumumkan apabila ia akan dilaksanakan kelak.

“Itu dalam perancangan, sudah ajukan (cadangan itu), akan diumumkan jika akan laksanakan,” katanya.


Lihat Komen
ADS