Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bantuan pada New Era, jangan banding era BN'
Diterbitkan:  Jan 14, 2019 3:22 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Pakatan Harapan tidak perlu membandingkan pemberian peruntukan khas kepada Kolej Universiti New Era dengan amalan di era BN, kata Pemuda Gagasan Sejahtera.

“Kenyataan media sebegini jelas menunjukkan sikap kebudak-budakan yang terus menjustifikasikan apa jua perkara yang dibuat oleh kerajaan PH dengan amalan terdahulu yang dilakukan oleh kerajaan BN.

“Di manakan semangat Malaysia Baru yang dicanang pemimpin Pakatan Harapan?

“Sikap sebegini bakal menyebabkan rakyat mual dan muak sehingga menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang,” kata timbalan ketuanya Shahir Adnan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semalam menegaskan peruntukan yang diberikan kepada New Era diberikan Kementerian Kewangan, bukan KPM.

KPM berkata mereka tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk kolej swasta daripada dana yang disediakan kepadanya melalui Belanjawan 2019.

KPM juga membangkitkan kerajaan BN juga pernah memberi peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Kutar) yang bukan universiti awam, antara RM30 juta hingga RM69.25 juta dalam Bajet 2012 hingga 2018,

Sebelum ini, anggota parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempersoal bantuan kepada kolej swasta.

Dalam kenyataan hari ini, Shahir yang juga Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia berkata menggesa kerajaan telus dan memberikan penjelasan secepat mungkin.

“Ini bukan isu perkauman, tetapi isu good governance di mana rakyat mahukan kerajaan yang telus. 

“Bagaimanakah Kementerian Kewangan memberikan peruntukan khas secara terus, di saat rakyat dicanang bahawa kewangan kerajaan berada di dalam keadaan tenat dek skandal 1MDB?” soalnya.

Katanya, New Era berada bawah kelolaan Dong Jiao Zong Higher Learning Center Berhad.

Dong Jiao Zong, katanya, merupakan suara kepada pendidikan Cina yang mahu mempromosi dan membangunkan sistem pendidikan aliran Cina di Malaysia.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berpandangan bahawa perpaduan kaum seharusnya bermula daripada peringkat sekolah. 

“Apabila diasingkan aliran-aliran sekolah, terutama sekolah persendirian Cina, yang tidak mengguna-pakai seratus-peratus kurikulum bawah Kementerian Pendidikan, maka anak-anak Malaysia akan berpecah belah, sejak di bangku sekolah,” katanya.

Lihat Komen
ADS