Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Maszlee dan bekas guru saling berlinang air mata

Dr Maszlee Malik mendedahkan cita-citanya untuk menjadi seorang menteri pendidikan dan ahli politik telah ditanam sejak 30 tahun lalu.

Dengan nada sebak mengenang kembali nostalgia itu, Maszlee berkata impian itu dipegang sejak berusia 15 tahun ketika belajar di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Katanya, beliau menjadikan guru agamanya Sukijan Muri, yang berjaya menjadi guru walaupun memulakan pengajian di usia 18 tahun, sebagai inspirasi.

“Kita ini hidup dengan impian. Dan impian adalah sebab kita bangun esok hari dan meneruskan kehidupan.

“Saya percaya impianlah yang menyebabkan beliau (gurunya) yang tak pernah bersekolah mampu melahirkan seorang yang mempunyai cita-cita.

“Impianlah yang menyebabkan saya berani untuk rasa tak puas hati dengan apa yang ada, dan ingin membuat perubahan walaupun sebagai sekerdil saya.

“Ini menyebabkan saya menyertai politik, seterusnya menjadi seorang menteri, dan ahli politik pada hari ini,” katanya yang sesekali terhenti menahan sebak.

Maszlee berkata demikian ketika menyampaikan amanat pendidikan bertemakan “Pendidikan untuk Semua”, di Universiti Putra Malaysia, Serdang, hari ini.

Kata Maszlee lagi, Sukijan yang sentiasa menyatakan kepadanya untuk mempunyai sikap tidak berpuas hati supaya, supaya terus berusaha untuk maju.

“Impian ini jugalah yang beliau titipkan seawal umur saya 15 tahun, dengan mengatakan bahawa saya perlu ada sikap tak puas hati, dengan sistem yang ada dan berusaha merubahnya.

“Beliau juga mengatakan kepada seorang pelajar berusia 15 tahun, kamu harus menjadi menteri pendidikan untuk merubah Malaysia menjadi negara lebih baik,” katanya.

Maszlee meneruskan ucapan dengan linangan air mata mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada Sakijan selepas pendidik berkenaan menyuntik kesedaran sejak di usia muda.

“Pada hari bersejarah ini, saya nak ambil kesempatan, saya sedang menahan emosi yang sedang meledak di dada untuk ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada guru saya Ustaz Sakijan Muri dari Maktab Sultan Abu Bakar yang dulu bersama-sama saya.

“Tanpa ustaz, saya tak akan berada di sini,” katanya.

Ketika itu kelihatan Sukijan bangun dan mengelap air matanya.

Sementara itu, Sukijan ketika ditemui pemberita berkata beliau gembira melihat pencapaian Maszlee.

Beliau turut berkata, walaupun Maszlee sudah menjadi seorang menteri, beliau tetap memberi nasihat kepada pelajarnya itu.

“Saya ikuti perkembangan beliau dan pandangan orang muda cakap apa, saya tetap bagi teguran walaupun dia dah jadi menteri,” katanya.

Lihat Komen
ADS