Paling Popular
Terkini

PRK CAMERON l Dewan di Pos Mensun, Ringlet berdiri usang ketika sukarelawan mula mengemas meja dan kerusi selepas satu acara di luar bangunan.

Dewan usang itu masih berdiri selepas dua dekad lalu, walaupun catnya mengelupas dan dinding diconteng pelbagai tulisan. Ada penduduk memberitahu Malaysiakini bahawa khabar angin mendakwa dewan itu kini ‘berhantu’.

Terdahulu, BN menganjurkan kempen pertamanya untuk pilihan raya kecil Cameron Highlands di luar dewan itu dengan kehadiran beberapa bekas menteri seperti Noh Omar dan Nazri Abdul Aziz.

Tujuan mereka adalah untuk memperkenalkan penduduk dengan calon BN Ramli Mohd Nor yang didakwa akan menjadi ahli parlimen Orang Asli yang pertama dalam sejarah negara ini.

Menurut bekas menteri Umno tersebut, Ramli yang juga adalah bekas pegawai polis kanan negara itu mampu memperbaiki kehidupan masyarakat Orang Asli jika dia memenangi pertandingan 26 Januari ini.

Pos Mensun, yang terletak 30 minit memandu dari Tanah Rata, adalah kampung Ramli. Ramai sanak saudara dan sahabatnya dari suku Semai masih tinggal di situ.

Janji tak ditunaikan

Bagi Fauziah Angin, dia bangga sepupunya dinamakan sebagai calon, tetapi dewan usang itu mengingatkannya kepada janji-janji BN yang gagal ditunaikan.

"Dewan itu sudah usang dan tiada siapa yang jaganya, tiada yang membaik pulih ataupun mengubahsuainya, keadaannya agak daif. Kampung ini telah dipinggirkan dari segi pembangunan.

"BN sudah bertahun-tahun berkempen di sini, tetapi tidak ada pembangunan, itulah sebabnya saya ragu-ragu dengan mereka.

"[...] Calon pilihan raya hanya pandai cakap ketika berkempen, mereka datang sini kerana mahu menang, dan dapatkan jawatan dan kekayaan, tetapi apabila menang, mereka tidak datang dan tidak peduli apa yang kami perlukan," katanya.

Fauziah, 36, berkata jika BN meletakkan calon bukan Orang Asli, dia tidak akan mengundi gabungan itu langsung.

Bagaimanapun, dengan pencalonan Ramli, dia kini belum membuat keputusan.

Begitu juga, ibu kepada dua orang anak, Zainab Abdullah, 43, yang belum membuat keputusannya terhadap Ramli sehingga dia benar-nenar yakin.

"Tak semestinya saya percaya calon Orang Asli. Dia baru jadi calon, kita tidak tahu banyak tentang dia.

"[...] dulu saya sering minta tolong dari BN, tapi tidak dapat, itulah masalahnya. Sebab itulah saya akan fikir banyak kali sebelum saya memutuskan siapa yang akan saya sokong" katanya kepada Malaysiakini.

Zainab, yang tinggal di Kampung Sungai Relong yang kedudukannya lebih jauh di kawasan pedalaman, mendakwa bahawa kerajaan BN terdahulu telah mengabaikan Orang Asli sejak sekian lama.

"Kami mahu pembangunan seperti kaum-kaum lain, pembangunan dari segi infrastruktur, perumahan, jalan raya dan pendidikan, kami telah lama diketepikan," katanya.

Namun bagi sepupu Ramli, Rosli Bedak lain pula ceritanya. Dia yakin dengan keupayaan calon BN itu untuk memperjuangkan nasib Orang Asli di Cameron Highlands.

Sebagai seorang pesara Pasukan Gerakan Am (PGA), Rosli, 59, percaya hanya Ramli yang boleh mewakili Orang Asli.

"Saya percaya kepadanya kerana bukan sahaja kami dari bangsa sama, tapi dia juga dari keluarga sama [...] Orang Asli akhirnya boleh meletakkan harapan mereka dalam bangsa mereka sendiri.

"Apabila kita sebut satu perkataan, dia faham apa yang kita maksudkan. Semua masalah dan situasi di pedalaman," katanya.

Pada masa lalu, Rosli berkata mereka tidak mempunyai "pilihan lain" tetapi menyokong BN kerana yang adalah kerajaan persekutuan.

"Kali ini, saya sokong Ramli," katanya.

Bagi penyokong BN yang setia, Azman Akau, 27, Ramli yang mempunyai pertalian keluarga sebagai calon memberinya alasan untuk menyokong parti itu.

"Saya sokong calon BN tidak kira siapa mereka, lebih-lebih lagi sekarang kita ada calon Orang Asli dan dia saudara kita," katanya.

Lawatan 'tidak rasmi' Manogaran

Sehari selepas lawatan Ramli, Pakatan Harapan dan calonnya M Manoragan melawat Pos Mensun. Mereka juga berkempen di Kampung Sungai Relong.

Rumah buluh dan konkrit di kampung kecil ini mempunyai bekalan elektrik dan air. Walau bagaimanapun, tidak ada isyarat untuk telefon bimbit.

Terbelah dua oleh sebatang sungai, kampung itu dihiasi dengan bendera PH dan salah sebuah rumah buluh digunakan sebagai bilik operasi gabungan itu.

Tidak seperti Ramli, tidak ada ceramah atau majlis dianjurkan PH. Manogaran dan pasukannya sekadar berjalan dan bersalaman dengan penduduk kampung yang sebagagian besar tidak mengenalinya.

"Mereka tak lakukan dengan cara rasmi, jika lawatan dilakukan dengan cara rasmi, ramai akan menyambutnya. Kami tidak diberitahu, jadi tidak ada yang hadir," kata Ramlee Akum sambil menyaksikan kenderaan keluar masuk dari kawasan tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS