Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM siasat jika pertukaran KP Imigresen ada kaitan projek RM3.5b

EKSKLUSIF | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam Kementerian Dalam Negeri, kata sumber.

Sumber yang rapat dengan perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM menerima maklumat bahawa pertukaran ketua pengarah imigresen berkemungkinan mempunyai kaitan dengan percubaan menganugerahkan kontrak IT jabatan itu yang bernilai RM3.5 bilion.

"Jika anda ingat, hujung tahun lalu terdapat pengumuman yang dibuat Menteri Dalam negeri (Muhyiddin Yassin) bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek yang digelar Skin (Sistem Kawalan Imigresen Nasional) yang bernilai RM3.5 bilion.

"Banyak sebab yang diberikan atas pembatalan projek itu. Namun baru-baru ini, kami menerima maklumat bahawa kementerian memutuskan untuk menyerahkan kepada syarikat lain pelaksanaan projek itu. Syarikat ini dikatakan mempunyai kaitan dengan pegawai kanan dalam kementerian," kata sumber.

Sumber juga memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa SPRM difahamkan bahawa pegawai yang dimaksudkan mempunyai kaitan dengan syarikat yang dijangka akan dianugerahkan kontrak projek itu.

"Ia projek sama untuk kos yang sama, dengan penjenamaan semula untuk beri nama baru," kata seorang lagi sumber yang memegang jawatan kanan.

Disember lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa kabinet memutuskan untuk membatalkan projek Skin dan digantikan dengan sistem dalam talian sepenuhnya yang digelar myIMMs Global.

Muhyiddin memberitahu pemberita ketika itu bahawa keputusan berkenaan dibuat berdasarkan keperluan untuk sebuah sistem baru yang lebih komprehensif, berkesan, mesra pengguna, selain bagi menjimatkan dana kerajaan.

Muhyiddin tidak dimaklumkan

Sumber mendakwa pegawai kanan yang dikaitkan dalam isu berkenaan dijadualkan untuk dipindahkan ke kementerian lain namun ia tidak berlaku susulan campur tangan "orang atas".

"Pertukaran terbaru bagi jawatan ketua pengarah imigresen dikatakan mempunyai kaitan dengan pegawai kanan itu yang berada dalam kementerian.

"Penyiasat sedang meneliti perkara ini. Sekiranya terdapat bukti rasuah, ia merupakan kesalahan serius dan akan ditangani mengikut undang-undang seperti mana-mana kes rasuah lain," kata salah seorang sumber.

Awal bulan ini, Jamil Rakon yang merupakan timbalan ketua setiausaha (pengurusan) Kementerian Dalam Negeri diumumkan akan dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Imigresen yang baru menggantikan Mustafar Ali.

Sementara Mustafar dipindahkan ke Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri semalam sebaliknya mengumumkan Khairul Dzaimee dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Imigresen meskipun Jamil sudah menerima surat penyerahan tugas daripada Mustafar Khamis lalu.

Kementerian Dalam Negeri juga memaklumkan bahawa Jamil akan kekal memegang jawatannya sebelum ini sebagai ketua setiausaha.

Mengulas perkara itu hari ini, Muhyiddin berkata beliau menganggap jawatan ketua pengarah Jabatan Imigresen kosong kerana Jamil dilantik menggantikan Mustafar tanpa pengetahuannya.

"Saya tidak dimaklumkan berhubung pelantikan Jamil. Biasanya, menteri akan dimaklumkan apabila ada kekosongan jawatan dalam kementerian.

"Jadi, saya cadangkan nama (Khairul) dan mereka setuju. Jadi tak ada masalah," katanya dipetik Sinar Harian.

Khairul merupakan bekas timbalan ketua setiausaha (dasar dan kawalan) Kementerian Dalam Negeri.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS