Paling Popular
Terkini

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Sheriff Mohd Kassim hari ini menyarankan agar salah sebuah jawatankuasa pilihan parlimen yang dibentuk baru-baru ini mengkaji syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menggunakan bajet kementerian untuk tujuan perniagaan.

Mohd Sheriff yang menyifatkan GLC tersebut sebagai ‘GLC nyamuk’ berkata, syarikat berkenaan bergantung pada bajet kementerian yang sepatutnya digunakan untuk rakyat, setelah mereka gagal mendapatkan pinjaman bank.

“Terdapat banyak GLC yang terletak di bawah kementerian tertentu,” katanya.

“Oleh itu jawatankuasa pilihan berkenaan perlu mengkaji beberapa GLC ini untuk melihat sama ada kewujudannya masih wajar,” katanya dalam ceramahnya pada ‘HELP University Conversation On National Issues 2019’, di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Sheriff adalah seorang daripada ahli panel sidang sehari itu berjudul 'Membina Malaysia Baru: Agenda dan Aspirasi.'

Pada Disember 2018, Dewan Rakyat diberitahu mengenai penubuhan enam jawatankuasa pilihan baharu parlimen, penyusunan semula jawatankuasa sedia ada, dan penubuhan Kaukus mengenai Reform dan Tadbir Urus.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata enam jawatankuasa itu adalah untuk membuat pertimbangan Rang Undang-undang; mengenai Bajet; Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; mengenai Hak dan Kesaksamaan Gender; mengenai hubungan Negeri dengan Persekutuan; dan Pelantikan Jawatan Utama Awam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS