Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC mahu penjelasan status pengambilan khas pelajar India ke matrikulasi

MIC hari ini mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan status pengambilan khas 2,200 pelajar India ke kolej matrikulasi yang diamalkan ketika pentadbiran BN.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) M Veeran berkata, kaum India ketika ini keliru berhubung isu berkenaan memandangkan tiada maklumat terbaru.

"Semasa pemerintahan BN, timbalan menteri pendidikan ketika itu, P Kamalanathan memastikan pengambilan khas ini dijalankan secara lancar. Beliau turut mendedahkan jumlah pelajar India yang mengikuti pengajian di kolej matrikulasi.

"Tetapi kini, tiada sebarang maklumat diberikan oleh KPM. Nampaknya, mereka lebih sibuk membantu sekolah dan kolej swasta yang bermajoriti pelajar Cina," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah M Veeran, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik belum memberi sebarang maklumat tentang pengambilan khas pelajar India, sedangkan sudah berbuat demikian berhubung pengambilan khas 1,000 pelajar Cina.

"Usaha kami untuk mendapatkan penjelasan daripada KPM juga sia-sia, selepas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching sangat sibuk di Cameron Highlands.

"Jadi, kami minta KPM segera menjelaskan status terkini mengenai pengambilan 2,200 pelajar India seperti dijanjikan oleh bekas perdana menteri Najib Razak," tegas beliau.

Untuk rekod, pada tahun 2013, menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan 1,500 pengambilan khas pelajar India bagi kolej matrikulasi.

Susulan permintaan MIC, pada tahun 2018, Najib mengumumkan penambahan pengambilan 700 lagi pelajar India bagi membantu mencapai sasaran tujuh peratus pelajar India di universiti awam.

Lihat Komen
ADS