Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Beza sogokan BN di Cameron dan bayaran perjalanan untuk Orang Asli

ULASAN l Pada 14 Januari lalu, akaun Twitter rasmi Barisan Nasional (BN) telah membuat ciapan bahawa kemenangan pilihan raya oleh wakil rakyat BN yang terdahulu telah diisytiharkan batal apabila calon tersebut memberi wang kepada sukarelawannya.

Ciapan ini dipercayai merujuk kepada keputusan Hakim Azizah Nawawi yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya di Kuala Lumpur, di dalam petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands, Manogaran Marimuthu terhadap kemenangan calon BN ketika itu, C Sivarraajh (foto, bawah).

Ini adalah suatu percubaan terang-terangan oleh akaun Twitter BN untuk menyamakan bayaran untuk perjalanan yang diberikan kepada sukarelawan Orang Asli yang telah mencetuskan kontroversi baru-baru ini, dengan perbuatan rasuah yang telah menyebabkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Cameron Highlands (P78) pada Mei tahun lalu diisytiharkan sebagai terbatal.

Kedua-dua scenario ini adalah berbeza bagai siang dan malam, dan tidak patut digolongkan dalam suatu kategori.

Seperti yang telah dijelaskan oleh Arvind Bharet, pembantu kepada ketua operasi Pakatan Harapan Jelai, gambar-gambar yang tersiar dalam media sosial menunjukkan sukarelawan parti di Cameron Highlands dibayar balik untuk perbelanjaan mereka menghadiri majlis penamaan calon bagi pilihan raya kecil, yang akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kempen.

Seperti yang dinyatakan oleh Thomas Fann, Pengerusi Bersih 2.0 di dalam ulasannya kepada media mengenai insiden tersebut, membayar balik sukarelawan adalah sah di sisi undang-undang sekiranya bayaran itu adalah termasuk dalam RM200,000.00 yang dibenarkan sebagai perbelanjaan kempen, dan diisytiharkan selepas pilihan raya tamat.

Saya telah membaca alasan penghakiman Petisyen Pilihan Raya Cameron Highlands. Di dalam Petisyen itu, isu yang perlu ditentukan oleh Hakim Pilihan Raya adalah sama ada terdapat mana-mana orang yang memberi wang kepada mana-mana pengundi, dan jika ya, sama ada wang itu diberikan untuk bagi mendorong pengundi untuk mengundi.

Ini adalah intipati bagi kesalahan menyogok di dalam Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Selepas mendengar keterangan daripada saksi-saksi kedua-dua pihak, hakim telah membuat beberapa dapatan fakta bahawa wang telah diberikan kepada pengundi, sama ada oleh calon BN atau wakilnya:

a) RM200 diberikan kepada batin sebagai ‘duit rokok’ di SK Sinderut;

b) RM25,000 dan RM200 diberikan di Pos Lenjang untuk diagihkan kepada batin-batin; dan

c) RM300 diberikan kepada batin di sebuah rumah persendirian di Pos Sinderut.

Hakim telah mendapati bahawa dalam insiden-insiden ini, wang yang diberikan kepada pengundi telah diberikan untuk mendorong mereka untuk mengundi. Di dalam penghakimannya, hakim mendapati bahawa sama ada wang itu diberikan sebagai ‘duit rokok’ atau pembayaran perjalanan kepada pengundi; perbuatan ini masih terjumlah kepada sogokan.

Harus diambilkira juga bahawa Sivarraajh tidak membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan dalam Petisyen pilihan raya tersebut, maka dapatan fakta yang menjahanamkan ini tidak dicabar melalui rayuan.

Paling penting sekali, merujuk kepada alasan penghakiman, Sivarraajh tidak pernah mengutarakan alasan bahawa individu-individu yang diberikan wang ini adalah sukarelawan kempen BN semasa Pilihan Raya Umum.

Mengikut dapatan fakta, individu-individu yag dibayar adalah batin dan pengundi, dan wang yang diberikan adalah untuk mendorong mereka supaya mengundi. Tidak ada isu tentang pembayaran balik sukarelawan di dalam Petisyen pilihan raya Cameron Highlands.

Menyamakan perbuatan menyogok yang berlaku sebelum ini, seperti yang didapati oleh hakim dalam petisyen tersebut, dengan pembayaran balik sukarelawan Pakatan Harapan di dalam pilihan raya kecil baru-baru ini adalah suatu percubaan tidak jujur untuk memperkecilkan atau ‘meringankan’ kesalahan-kesalahan berat yang didapati telah dilakukan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 di P78.


SYAHREDZAN JOHAN adalah seorang peguam dan kini berkhidmat sebagai setiausaha politik anggota parlimen Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS