Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tindakan ROS pada MyPPP boleh jadi teladan buruk'
Diterbitkan:  Jan 15, 2019 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Bekas naib presiden MyPPP Datuk A Chandrakumanan menyifatkan tindakan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ke atas MyPPP akan menjadi teladan buruk kepada parti politik yang lain.

Ini kerana, jelasnya, pada masa akan datang, ahli parti yang mempunyai masalah dengan parti atau kepimpinan akan mengadakan mesyuarat sendiri tanpa kelulusan untuk merampas kepimpinan parti.

Chandrakumanan berkata demikian sebagai merujuk tindakan ROS membubarkan MyPPP yang mempunyai pertikaian antara dua kem berhubung jawatan presiden.

Dua kem berkenaan diterajui M Kayveas dan Maglin D'Cruz, dengan masing-masing mendakwa diri sebagai presiden parti yang sah.

"Jika apa yang berlaku hari ini kepada MyPPP dihalalkan, maka semua parti politik harus ambil perhatian sebab ia menjadi sebuah precedent (teladan) di mana ahli parti yang mempunyai masalah dengan parti atau kepimpinan parti boleh melaksanakan mesyuarat parti tanpa sebarang kelulusan untuk merampas kepimpinan parti tanpa mengikut perlembagaan parti mahupun peraturan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Chandrakumanan turut mempersoalkan tindakan ROS yang menurutnya menerima minit mesyuarat tahunan yang diadakan oleh pihak Maglin D'Cruz.

"Bukankah ia menyalahi undang-undang yang ditetapkan oleh ROS?" soalnya lagi.

Dalam kenyataan sama, Chandrakumanan juga memetik Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandianyang yang sebelum ini menyifatkan tindakan ROS menghantar surat kepada kedua-dua kem boleh menyebabkan kekeliruan.

"Saya setuju dengan pendapat Sivamurugan dalam pandangan beliau mengenai isu pembubaran MyPPP hari ini.

"Mengapa Pendaftar Pertubuhan (ROS) menghantar surat pembubaran kepada kedua-dua kem MyPPP?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Chandrakumanan, melalui surat bertarikh 18 Mei 2018, Ketua Pengarah ROS mengiktiraf M Kayveas sebagai Presiden MyPPP sekaligus memberi persepsi kepada kepimpinan MyPPP bahawa satu penyelesaian telah dicapai.

"Apa yang tidak masuk akal dalam perkara ini adalah motif ROS untuk menghantar surat pembatalan ini kepada kedua-dua pihak?

"Mengikut prosedur rasmi ROS, sebarang bentuk komunikasi hanya perlu dihantar kepada presiden MyPPP yang diiktiraf oleh ROS sendiri mengikut surat ROS bertarikh 18 Mei, 2018," tegas Chandrakumanan lagi.

Menurutnya lagi, kandungan surat yang mengiktiraf Kayveas sebagai presiden MyPPP menyarankan agar MyPPP mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan parti.

"Seperti yang disarankan oleh ROS, MyPPP telah berjaya mengadakan mesyuarat tahunan dengan dan kesemua dokumen telah dihantar kepada ROS mengikut peraturan," katanya.


Lihat Komen
ADS