Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia direkodkan di Taiping, Perak setakat ini.
Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata pemeriksaan ke atas dua mangsa yang digigit anjing positif rabies di daerah itu pada 25 Disember lepas tidak menunjukkan tanda atau gejala penyakit tersebut.
“Kes itu tiada kaitan atau persamaan dengan kes rabies yang berlaku di Sarawak.
Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kini bekerjasama rapat melaksanakan aktiviti kawalan serta pencegahan,” katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.
Kelmarin, Mukim Taiping dan Bukit Gantang di Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila berikutan empat sampel yang diambil di kawasan itu didapati positif wabak berkenaan.
Kelmarin, Ketua Pengarah Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dilaporkan berkata ia diputuskan susulan ujian dilakukan JPV selepas menerima maklumat pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping pada 31 Disember lepas.
Menurutnya, pengadu berkenaan melaporkan bahawa dua anggotanya keluarganya digigit oleh seekor anjing miliknya pada 25 Disember dan anjing itu sudah dilupuskan oleh pengadu pada 3 Januari lepas.
Pada 4 Januari lepas, sampel otak daripada anjing itu telah diuji dan disahkan positif terhadap penyakit rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan operasi penangkapan anjing liar serta memberi suntikan vaksinasi sebagai langkah membendung penularan wabak anjing gila atau rabies di negeri ini.
Katanya, tindakan itu bagi memastikan wabak rabies tidak menular ke seluruh negeri selepas kes pertama dikesan berlaku di Taiping.
"Saya telah menandatangani pewartaan kawasan jangkitan rabies bagi mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama semalam, sebagai langkah-langkah pencegahan yang perlu dibuat supaya wabak itu tidak mendatangkan masalah yang lebih serius di negeri ini.
"Saya juga ingin meminta kepada mereka yang memiliki anjing di rumah supaya mendapatkan suntikan (vaksinasi) ke atas haiwan peliharaan sebagai langkah proaktif membendung penularan wabak rabies kerana kita juga bimbang dengan keselamatan anak-anak yang terdedah kepada bahaya sekiranya mereka diserang oleh anjing," katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mesra Milik yang diusahakan oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan pemaju hartanah, MK Land Holdings Bhd di tapak projek Naluri Perdana di Pengkalan Baru di Gopeng semalam.
-- Bernama
