Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan mesti beritahu rakyat usaha perangi rasuah - Abu Kassim

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memaklumkan kepada rakyat dengan lebih berkesan mengenai usahanya dalam memerangi rasuah, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Abu Kassim Mohamed berkata pentadbiran baru kini mempunyai niat yang serius untuk membanteras rasuah, tetapi kurang usaha dalam mempromosikannya.

"Buat masa ini agak berbeza, saya melalui (masa) agak panjang melihat perubahan-perubahan kerajaan lepas dan kerajaan baru.

"Saya lihat mereka punyai niat yang serius untuk menangani isu rasuah, integriti dan governance (urus tadbir) sebab itulah mereka dapat memegang tampuk pemerintahan sekarang

"Isunya sekarang ialah mesti diberitahu kepada rakyat," katanya kepada Malaysiakini semasa wawancara mengenai Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) pada Isnin lalu.

Abu Kassim, yang pernah mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditanya mengenai komitmen kerajaan dalam menangani isu rasuah di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh inisiatif Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) sebagai salah satu usaha yang tidak disampaikan secara berkesan kepada orang ramai.

Sejak JKKMAR dibentuk tahun lepas, Abu Kassim berkata ia telah membincangkan dan meluluskan sejumlah 61 inisiatif.

"Beritahu, tunjuk kepada rakyat di mana benda itu berada. Keseriusan pemimpin-pemimpin, mereka memang serius. Kalau tak, takkan 61 perkara diluluskan di peringkat JKKMAR dan dibawa ke kabinet dan diluluskan.

"Ini satu perkara yang rakyat tak tahu dan harus diberitahu. Bagi saya perubahan yang besar," katanya.

Dalam wawancara tersebut, Abu Kassim juga ditanya mengenai keseriusan PH dalam menangani isu rasuah terutama membabitkan pemimpin mereka sendiri.

Beliau diminta mengulas kes rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang tidak diteruskan, ujian air kencing terhadap anak Menteri Pertahanan, Mohd Sabu yang mengambil masa lama dan tiada tindakan sehingga kini terhadap pegawai menteri dalam negeri, yang mengundang kritikan orang ramai.

Abu Kassim berkata ini adalah sebab mengapa setiap agensi kerajaan dan kementerian perlu mewujudkan komunikasi yang baik untuk memastikan orang ramai dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan.

"Maklumkan pada public, communicate dengan public apa sebenarnya. Itu yang public nak tahu, apa tindakan yang dibuat dan sebagainya.

"Jadi bagi saya ialah tiap-tiap agensi, kementerian mempunyai komunikasi yang baik untuk maklumkan perkembangan. Kadang-kadang rakyat nak tahu apa sebabnya, dan sebab itu mestilah justified," katanya.

Lihat Komen
ADS