BERITA Malaysiakini

PKR Johor kesal kerajaan biar Singapura 'buli' MB

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim meluahkan kekecewaannya terhadap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang dilihat membiarkan saja Singapura 'membelasah' Menteri Besar Osman Sapian, berhubung dakwaan menceroboh perairan negara itu.

"Singapura membuli menteri besar Johor dan menjadikannya sebagai kambing hitam dan punching bag, manakala pemimpin di Putrajaya ambil sikap tidak peduli.

"Pemimpin kerajaan negeri Johor juga ambil sikap membisu dan kelu seribu bahasa membiarkan Osman mempertahankan diri seorang diri dalam menghadapi tuduhan liar dari Singapura, sedangkan Osman menjalankan tugas demi mempertahankan kedaulatan wilayah dan maruah negara dan negeri," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau yang juga anggota parlimen Pasir Gudang berkata akan menuntut jawapan kerajaan berhubung perkara itu - yang baginya sangat dikesalkan - apabila Parlimen kembali bersidang Mac ini.

Terdahulu, kerajaan Singapura mendakwa Osman menceroboh kawasan perairannya di Tuas pada 9 Januari lalu ketika lawatan ke kapal milik kerajaan Malaysia MV Pedoman.

Kawasan sekitar itu kini menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.

Tidak seperti kawasan lain di Selat Johor, sempadan antara Malaysia dan Singapura di sana belum digariskan dengan jelas, dengan kedua-dua pihak membuat tuntutan wilayah bertindih.

Osman menafikan dakwaan menceroboh kawasan Singapura, dan berkata lawatannya bukan untuk mencetuskan provokasi tetapi hanya untuk melihat pasukan keselamatan Malaysia menjalankan tugas.