Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak akan ada bail out untuk kereta nasional ketiga'
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 10:09 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

Di tengah-tengah kebimbangan terhadap rancangan kerajaan untuk membangunkan kereta nasional baru, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof memberi jaminan tidak akan ada bail out menggunakan dana awam terhadap projek itu pada masa akan datang.

Menurut FMT, beliau juga menjamin dana awam tidak akan digunakan untuk peringkat pembangunan memandangkan ia akan didanai melalui satu usaha sama strategik dengan pihak swasta.

"Kerajaan tiada niat menjadikan projek ini menggunakan dana awam yang besar," katanya ketika wawancara bersama laman itu.

Redzuan berkata kementeriannya telah menetapkan kriteria spesifik dalam pemilihan rakan strategik untuk projek kereta nasional ketiga itu.

Antaranya, katanya lagi, pihak itu mestilah sebuah pembuat kereta yang sudah kukuh dan mengeluarkan komponen untuk bekalan dan perkhidmatan selepas jualan, serta memiliki kemampuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri.

Dari segi bentuk fizikal kereta, beliau berkata konsep yang akan diterapkan adalah sebuah kereta untuk pasaran massa dengan enjin yang lebih efisien.

"Ia akan menjadi sebuah hibrid berdasarkan enjin pembakaran dalaman... Dari segi rekaan pula, kita kini dalam peringkat cuba untuk memuktamadkan bentuk prototaip, yang akan didedahkan lewat tahun ini, dan ini semua tanpa kita membelanjakan satu sen pun," katanya seperti dipetik.

Redzuan berkata projek kereta nasional ini bukan saja untuk mengeluarkan kereta, tetapi untuk mewujudkan satu ekosistem untuk perkembangan industri, perusahaan dan usahawan tempatan.

Akhir Disember lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata belum ada keputusan dibuat berhubung pelaburan kerajaan dalam projek itu ekoran ia memerlukan perbelanjaan modal yang besar yang tidak diperuntukkan bawah Belanjawan 2019.

Rancangan sebuah lagi projek kereta nasional ini disuarakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Jun 2018.

Beliau berkata Proton tidak boleh lagi dianggap sebagai kereta nasional kerana hampir seluruh ekuitinya telah dijual kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holdings Group.

Lihat Komen
ADS