Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Azeez berdepan 12 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM144.6 juta, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dihadapkan dengan tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Untuk pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa menerima RM5.2 juta daripada Pengarah Menuju Asas Sdn Bhd Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai habuan kerana membantu syarikat itu mendapat projek pembinaan lebuh raya dan penambahbaikan jalan di Perak dan Kedah.

Transaksi dikatakan berlaku antara Disember 2010 hingga April 2018.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Azeez yang juga bekas pengerusi Tabung Haji boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda lima suapan, mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit bersalah.

Untuk pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa menerima wang haram bernilai sehingga RM139.41 juta daripada empat syarikat iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd.

Transaksi dikatakan berlaku antara 10 Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018.

Sementara itu, abangnya Abdul Latif Abdul Rahim juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez berkenaan suapan berjumlah sehingga RM4 juta berhubung projek lebuh raya bernilai RM644.48 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM800,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Azeez, dan RM500,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Latif.

Abdul Azeez dan Latif juga diarah menyerahkan pasport mereka.

Pasukan pendakwaan diketuai Gopal Sri Ram, manakala Abdul Azeez dan abangnya diwakili Hisyam Teh Poh Teik, Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan M Athimulan.

Mahkamah menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan kes.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 4.30 petang semalam selepas hadir ke sana untuk soal siasat.

Mereka juga pernah ditahan September lalu dan direman sepuluh hari.

Pada 23 Mei lalu, SPRM menyerbu rumah dan pejabat Abdul Azeez dan merampas RM500,000 wang tunai serta lebih 20 mata wang asing dengan nilai tukaran RM1.2 juta.

Bernama kemudian melaporan serbuan itu untuk membantu siasatan berkaitan pelantikan kontraktor untuk projek melibatkan Tabung Haji.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan meminta dan menerima rasuah.

Berikut adalah 12 pertuduhan yang dihadapkan kepada Abdul Azeez hari ini:

Dakwaan rasuah:

  • Menerima RM1.2 juta rasuah daripada Redzuan untuk empat projek kerajaan di Perak dan Kedah bernilai RM197.8 juta pada 8 Disember 2010.
  • Menerima RM2 juta rasuah daripada Redzuan untuk sebuah projek jalan raya di Perak bernilai RM664.48 juta pada 13 Jun 2017.
  • Menerima RM2 juta rasuah daripada Redzuan untuk sebuah projek jalan raya di Perak bernilai RM664.48 juta pada 10 April 2018.

Dakwaan pengubahan wang haram:

  • Menerima wang haram berjumlah RM1.9 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 8 Mac 2010 dan 31 Disember 2010.
  • Menerima wang haram berjumlah RM670,000 daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 1 Februari 2011 dan 29 Disember 2011.
  • Menerima wang haram berjumlah RM4.13 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 6 Januari 2012 dan 26 Disember 2012.
  • Menerima wang haram berjumlah RM783,900 daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 5 Januari 2013 dan 25 Disember 2013.
  • Menerima wang haram berjumlah RM1.48 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 3 Januari 2014 dan 31 Disember 2014.
  • Menerima wang haram berjumlah RM8.18 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd dan Pintas Utama Sdn Bhd antara 8 Januari 2015 dan 31 Disember 2015.
  • Menerima wang haram berjumlah RM33.36 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd dan Pintas Utama Sdn Bhd antara 4 Januari 2016 dan 30 Disember 2016.
  • Menerima wang haram berjumlah RM63.64 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd antara 3 Januari 2017 dan 27 Disember 2017.
  • Menerima wang haram berjumlah RM25.25 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd antara 8 Januari 2015 dan 31 Disember 2015.
Lihat Komen
ADS