Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maria, polis runding penyelesaian 'kes saman Sosma'

Maria Chin Abdullah dan polis telah memulakan rundingan penyelesaian kes samannya berikutan penahanan bekas pengerusi Bersih itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) atau Sosma pada tahun 2016.

Maria ditahan di bawah Sosma selama 10 hari sebelum perhimpunan Bersih 5 pada tahun itu.

Ini dimaklumkan oleh peguam Latheefa Koya dan peguam kanan persekutuan Kamal Azira Hassan, yang juga ketua Unit Tort dan Kewajipan Statutori di Bahagian Sivil, Jabatan Peguam Negara, kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nik Hasmat Nik Mohamed.

Berikutan itu, Hakim Nik Hasmat menetapkan 18 Februari bagi pengurusan kes supaya mahkamah dikemaskini mengenai rundingan penyelesaian berkenaan.

Maria yang kini anggota parlimen Petaling Jaya, memfailkan saman itu pada 6 Ogos tahun lepas. Beliau mendakwa penahanannya di bawah Sosma sebagai tidak sah.

Rasa khuatir, menakut-nakutkan

Beliau menamakan ketua polis negara, menteri dalam negeri dan kerajaan sebagai defendan dalam kes saman itu.

Dalam kenyataannya, Maria berkata, beliau ditangkap pada petang 18 November, 2016 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Keesokan harinya, beliau ditahan oleh pegawai polis Wan Aedil Wan Abdullah di bawah Sosma dan disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana kegiatan yang memudaratkan demokrasi.

Pada 22 November 2016, anak lelaki Maria memfailkan permohonan habeas corpus dan beliau dibebaskan pada 28 November, sehari sebelum pendengaran dijadualkan.

Beliau mendakwa penahanannya bertujuan menimbulkan rasa khuatir untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada menghadiri perhimpunan Bersih 5 dan tidak ada alasan untuk menangkapnya.

Maria berkata penahanannya selama 10 hari bermula 18 November 2016 adalah bertujuan untuk menzaliminya berikutan beliau terpaksa tidur di dalam sel individu tanpa tingkap dan tidur di atas lantai konkrit dengan hanya beralaskan sekeping kayu tanpa dibekalkan tilam, bantal dan selimut.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, serta kos.

Kerajaan, dalam penghujahannya berkata polis bertindak berdasarkan laporan yang dibuat Wan Ahmad Zakiman Wan Ismail, berdasarkan artikel yang diterbitkan dalam akhbar Malay Mail pada tahun itu.

Berikutan penyiaran artikel tersebut, beberapa laporan polis telah dibuat, katanya.

Polis selanjutnya menafikan penahanan Maria sebagai menyalahi undang-undang dan menjelaskan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 124C berdasarkan kepercayaan munasabah bahawa kesalahan telah dilakukan.

Polis juga mendakwa hak Maria dijelaskan kepadanya semasa penyiasatan, dan beliau diberikan rawatan perubatan yang mencukupi ketika sedang dalam tahanan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS