Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan tuduhan menerima sogokan wang daripada sebuah rangkaian restoran makanan segera untuk berdiam diri dalam isu dakwaan diskriminasi terhadap francaisi restoran itu.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan merujuk video yang tular di Facebook sebelum ini berhubung dakwaan itu.

"Pada Julai lalu ada seorang berjumpa kita mengadu berkaitan (dakwaan terhadap) restoran ini.

"Kemudian ada seorang individu bernama Yuseri telah mengaibkan PPIM dan berkata kami berdiam diri dalam isu ini. Dalam Video itu dia kata PPIM gagal bertindak, seolah-olah kami diberi duit atau sudah 'kawtim' dengan pihak restoran.

"Ia jauh dari kebenaran. Kami tak terima duit yang tidak membawa apa-apa kebaikan," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Video itu mendakwa memiliki bukti syarikat makanan segera itu melanggar Akta Francais 1998 dan mendiskriminasi francaisi syarikat itu.

Antara dakwaan video itu ialah lima peratus daripada jualan kasar ke atas setiap francaisi yang dikutip secara bulanan oleh syarikat adalah yuran pengiklanan dan ia tidak didedahkan kepada francaisi.

Nadzim berkata pihaknya telah berjumpa dengan pihak pengurusan syarikat itu dan diminta tidak mencampuri perkara itu memandangkan ia telah dibawa kepada kerajaan.

"Kami bawa aduan yang diterima untuk dibincangkan dengan syarikat namun mereka minta kita tidak campur tangan," katanya lagi.

Justeru beliau menggesa pihak yang melemparkan tuduhan PPIM menerima sogokan daripada syarikat itu agar memohon maaf secara terbuka kerana telah mencemarkan nama baik persatuan itu.

"Dia kena tarik balik tuduhan dalam tempoh 14 hari. Jika dia gagal berbuat demikian, kita akan saman," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS