BERITA Malaysiakini

DAP banyak cabul prinsip, kata Nasrudin

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK CAMERON | PAS mendakwa DAP menggunakan politik perkauman dan ugutan untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Menjelaskan kenyataan itu Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata dalam sistem demokrasi rakyat berhak membuat pilihan tanpa dimomokkan dengan ugutan menjengkelkan.

"Mengapa ugut dengan politik pembangunan walhal acuan politik baru yang dicanangkan ialah inklusif kepada seluruh rakyat?

"PAS menyeru seluruh pengundi di Cameron Highland untuk menolak DAP yang menggunakan politik ugut dan memperbodohkan pengundi.

"Lim Guan Eng turut mempersoalkan bantuan peneroka Felda yang masih belum dilunaskan dan hutang kerajaan Pahang yang tinggi.

"Sebelum bermula PRK, calon DAP juga memainkan sentimen politik perkauman kepada pengundi sehingga akhirnya calon tersebut memohon maaf," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang didakwa mengugut pengundi Cameron Highlands menjelang hari mengundi pada 26 Jan ini.

Acuan baru dicanang DAP

Bersih pula semalam dalam satu kenyataan menegur Lim yang juga setiausaha agung DAP kerana menjanjikan pembangunan di Cameron Highlands sekiranya calon PH menang.

Kenyataan itu disifatkan Bersih sebagai satu diskriminasi dan kesalahan dalam pilihan raya.

Jelas Bersih kaedah tidak beretika patut dihentikan bawah Malaysia Baru dan PH tidak perlu dengan menjadi BN 2.0.

Selain itu Bersih juga menuntut Lim menjelaskan sama ada kawasan itu akan didiskriminasi jika PH kalah.

Lim ketika berkempen berkata, Cameron Highlands bakal menerima lebih banyak projek pembangunan jika PH menang.


Baca Lim: Pernah kamu nampak PH janjikan jalan, jambatan baru?


Anggota Parlimen Bagan itu berkata semua pembangunan terutama di kawasan tanah tinggi tidak akan berjalan seperti yang dirancang jika calon BN menang.

Manakala Manogaran pada 9 Jan lalu memohon maaf berhubung kenyataannya yang mendakwa orang Melayu tidak membeli kuih orang asli.

Nasrudin berkata keyataan Lim dan Manogaran itu membuktikan DAP memainkan politik ugutan dan perkauman sebagai acuan politik baru mereka.

"Hal ini bermakna, politik perkauman dan politik ugut adalah acuan politik baru yang dicanangkan oleh DAP.

"Setelah mereka merangkul kuasa, banyak prinsip politik yang telah dicabuli dan dilakukan dengan sewenang-wenangnya," katanya lagi.

Untuk rekod hari ini Lim menafikan beliau menjanjikan projek pembangunan di Cameron Highlands bagi meraih sokongan pengundi.

Kata Lim PH tidak pernah menjanjikan sebarang bentuk wang atau projek pembangunan secara khusus kepada pengundi di kawasan itu.

“Kami berbeza dari Barisan Nasional (BN).

"Pernah kamu nampak PH menjanjikan jalan atau jambatan baru? Tidak... kami tidak pernah (berjanji)," katanya kepada pemberita di Putrajaya.