Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka siasat kolej swasta didakwa tamatkan pengajian pelajar
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 4:18 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Kerajaan negeri Melaka akan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap sebuah kolej swasta di Jalan Hang Tuah di sini, yang didakwa menamatkan pengajian 14 penuntutnya yang berada dalam tahun akhir Diploma Kreatif Multimedia mereka, dengan serta-merta.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata siasatan itu susulan aduan daripada penuntut yang mendakwa menjadi mangsa apabila kolej kemahiran tersebut bertindak menamatkan pengajian mereka pada 3 Jan lepas, tanpa sebarang notis.

Beliau berkata antara alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan kolej itu adalah tiada peruntukan disediakan bagi pelajar terbabit, namun pihaknya akan meneliti sama ada insiden tersebut merupakan isu terpencil atau turut melibatkan kolej kemahiran yang lain.

"Kami akan menyiasat status kolej ini termasuk amalan tadbir urus dan jaminan yang diberikan kepada penuntutnya (sedia ada) selain mendapatkan maklumat daripada pihak kementerian yang terlibat.

"Selain itu, kami akan melakukan proses rundingan melibatkan kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang keputusan yang dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu," katanya kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata pihaknya turut menerima beberapa tawaran daripada kolej-kolej kemahiran yang terletak di luar Melaka yang menawarkan penuntut berkenaan untuk menyambung pengajian mereka.

"Bagaimanapun, kami akan cuba menyelesaikan isu ini dengan sebaiknya agar mereka dapat meneruskan pengajian di Melaka memandangkan ramai yang berasal dari negeri ini," katanya.

Sementara itu, Adly menolak dakwaan bahawa wujudnya isu 'kroni' dalam pentadbiran termasuk jabatan, anak syarikat ataupun agensi melibatkan kerajaan negeri sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan.

"Kami mempunyai proses tertentu dalam setiap lantikan yang melalui sesi temu duga, penilaian dan laporan daripada ketua jabatan, oleh itu, saya fikir proses ini agak telus," katanya.

Dalam pada itu, seorang penuntut kolej swasta berkenaan Sitti Hatiza Jummat, 21, berkata dia berasa kesal dengan tindakan kolej terbabit yang 'membuang' pelajar tanpa alasan munasabah.

"Pihak pengurusan memberi alasan kuota Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran tidak cukup dan pada 3 Jan lepas, kami dipanggil menghadiri mesyuarat yang kemudiannya memaklumkan bahawa kami diberhentikan," katanya yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.

Sitti Hatiza bagaimanapun menolak untuk meneruskan pengajian di kolej berkenaan sekiranya ditawarkan berikutan sudah tawar hati dengan pengurusan dan pentadbiran kolej tersebut yang disifatkannya berorientasikan kewangan semata-mata tanpa mengambil kira keperluan dan kebajikan pelajar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS