Most Read
Most Commented
Read more like this

Kerajaan sendiri tidak komited dengan amalan demokrasi yang diamalkan sekarang jika pilihan raya di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dimansuhkan seperti saranan sekumpulan pensyarah dan pelajar, kata seorang pemimpin pelajar.

"(Saranan itu) bertentangan dengan demokrasi di negara ini," kata presiden Perwakilan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Mahadi Sukarno hari ini, mengulas cadangan agar majlis perwakilan pelajar (MPP) dibuat secara lantikan oleh naib canselor.

"Mereka perlu sedar perkara itu (MPP) disebut dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti. Dan pilihan raya kampus untuk MPP bukan perkara baru, ia telah lama diadakan," kata Mahadi, apabila menghubungi malaysiakini petang tadi.

Sekumpulan 20 pensyarah dan pemimpin pelajar UKM hari ini dilaporkan mendesak kerajaan menghapuskan pilihan raya kampus di semua IPT awam dengan tujuan mengurangkan pengaruh politik kepartian, yang didakwa menyebabkan pelajar Melayu kurang tumpuan kepada pelajaran.

Akhbar Utusan Malaysia juga melaporkan, kumpulan itu - yang tidak dinamakan - juga mendakwa pilihan raya kampus menyebabkan perpecahan dan suasana tidak harmoni kerana mendapat sokongan parti pembangkang.

Memorandum berhubung saranan penghapusan pilihan raya itu dilaporkan telah diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.

Mahadi berkata, pelajar tidak wajar dilabelkan antikerajaan hanya kerana mereka lantang menyuarakan pandangan.

Dedahkan identiti

"Mereka bersuara apabila melihat ada sesuatu (perkara) yang dirasakan perlu diperbetulkan dan tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Presiden PMUKM juga menggesa mereka yang mengelar "kumpulan pemikir" itu mendedahkan identiti.

Mahadi menafikan terdapat golongan luar kampus yang dibawa masuk untuk membantu kempen, seperti didakwa jurucakap kumpulan itu.

"Sepanjang pengetahuan saya perkara itu tidak berlaku. Tapi kalau benar (ada berlaku perkara itu) seperti didakwa, ia perlulah dibuktikan," kata pemimpin pelajar itu lagi.

"Soal pelajar berkempen untuk pilihan raya sepatutnya tidak timbul kerana berkempen untuk pilihanraya di kampus memang dibenarkan," tambahnya lagi.

Khamis lalu malaysiakini melaporkan, MPP Universiti Putra Malaysia berkata seksyen 48(1) akta universiti, yang membenarkan pemilihan wakil pelajar secara demokrasi, "kemungkinan besar" diperketatkan untuk membolehkan pihak pentadbiran melantik sendiri pemimpin pelajar.

"Jika perkara itu dipinda, maka hak bersuara dan (sistem) demokrasi yang ada pada pelajar akan hilang. Hak pelajar akan terabai," tegas presiden MPPUPM, Mohd Nasri Muarat.

"Jika tidak berdasarkan pilihanraya (kampus), persatuan pelajar akan lebih terdedah kepada aspirasi pentadbir universiti dan bukannya suara mahasiswa."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS