Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selamat kembali Kg Kerinchi, selamat tinggal Bangsar South

Kawasan yang digelar Bangsar South akan kembali dipanggil dengan nama lamanya Kampung Kerinchi.

Pengumuman itu dibuat oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam ‪Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi dan Perasmian Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Kampung Kerinchi, hari ini.

“Hari ini hari yang sangat bersejarah. Selamat datang saya ucapkan ke Kampung Kerinchi.

“Sebenarnya kawasan Kampung Kerinchi ini ialah satu warisan sejarah setempat yang sepatutnya kita pertahankan, yang sepatutnya jadi satu kebanggaan.

“Malah Kampung Kerinchi telah wujud sebelum Lebuhraya Persekutuan wujud, sebelum Malaya merdeka. Maka yang kita perjuangkan pada hari ini bukanlah satu penghapusan tapi sebenarnya kita ingin memartabatkan sejarah bangsa, nusa dan negara kita,” katanya lagi.

Pengumuman tersebut merupakan salah satu janji Fahmi dalam kempen pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Nama Kampung Kerinchi ditukar kepada Bangsar South pada 2012 apabila kawasan itu dinaik taraf.

Sedangkan, jelas Fahmi, Kampung Kerinchi bukanlah sebahagian daripada Bangsar.

Tambah Fahmi, dia telah berjumpa dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), syarikat pemaju UOA Development, Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur, dan Dewan Bahasa dan Pustaka berkenaan pertukaran nama tersebut.

Kenangan Anwar

Pada program sama, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengimbau kenangan ketika beliau masih aktif sebagai aktivis pelajar Universiti Malaya (UM) dahulu.

“Kampung Kerinchi mempunyai suatu sejarah yang amat dekat dengan kami pemimpin pelajar 1960-an dan 1970-an. Tiap kali ada demonstrasi dan kita diserang, kami cari pelindungan di Kampung Kerinchi.

“Penduduk Kampung Kerinchi masa itu semua dapat simpankan kami untuk beberapa jam di rumah mereka kerana walaupun mereka dalam parti kerajaan atau tidak, simpati mereka kepada mahasiswa yang memperjuangkan nasib rakyat kuat sekali," katanya.

Tambahnya lagi, ramai pelajar UM yang mempunyai hubungan erat dengan penduduk Kampung Kerinchi kerana mereka hidup bersama.

Kata Anwar, ketika menjadi menteri kewangan, beliau berusaha ke arah pembinaan lebih banyak projek perumahan rakyat (PPR), dan Kampung Kerinchi menjadi salah satu kawasan yang menjadi keutamannya biarpun berdepan kesukaran dalam soal pemilikan tanah.

“Itulah mulanya kita bangunkan PPR besar-besaran di Kampung Kerinchi dan saya sendiri yang rasmikan,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan bahawa beliau tidak menolak pentingnya pembangunan, namun ia tidak seharusnya meninggalkan golongan miskin di belakang atau mengancam kebudayaan, agama, sejarah, dan kebajikan penduduk setempat.

Memetik kata-kata daripada buku A Tale of Two Cities karya Charles Dickens, situasi itu kata Anwar akan menyebabkan berlakunya situasi di mana golongan kaya dan miskin menjalani kehidupan berasingan biarpun hakikatnya mereka tinggal dalam kawasan yang sama, dengan keperluan orang miskin terabai.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau bukan sahaja berusaha untuk mengembalikan nama Kampung Kerinchi, malah turut mengaturkan program-program bagi penduduk di kawasan itu.

Antaranya, perbincangan sedang dilakukan dengan pihak DBKL untuk menjadikan Lembah Pantai antara kawasan laluan perkhidmatan bas percuma GoKL, selain pembinaan klinik kesihatan di kawasan itu serta pembinaan lebih banyak PPR.

Lihat Komen
ADS