Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Golf di pejabat' - Ini troll tak bertempat, kata Syed Saddiq pada Asyraf Wajdi
Diterbitkan:  Jan 20, 2019 4:30 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak menyindir atau troll "tak bertempat".

Ia susulan tindakan Asyraf mengongsikan gambar Syed Saddiq bersama beberapa orang lagi yang dilihat bermain golf di dalam pejabat.

"Sibuk benar training, YB. Bila tarikh dialog kita mengenai Ketuanan Melayu? Parlimen sudah lama selesai bersidang," kata Asyraf mengiringi gambar itu di Facebook.

Beliau merujuk tindakan Syed Saddiq yang menyahut cabarannya untuk berdebat berhubung perkara itu Oktober lalu selepas ketua pemuda Bersatu itu dilaporkan berkata era Ketuanan Melayu sudah berakhir.

Menerusi ciapan di Twitter, Syed Saddiq menjelaskan gambar itu sebenarnya ketika mereka membuat rakaman untuk satu pertandingan golf.

"Ini namanya troll tak bertempat. Rakaman video untuk pertandingan golf pun dipolitikkan.

"Saya tiada masa nak ke padang golf, maka meluangkan lima minit di pejabat (untuk rakaman)," kata Syed Saddiq dalam ciapan di Twitter.

Asyraf Wajdi Dusuki

Membalas sindiran Asyraf, Syed Saddiq juga membangkitkan dakwaan oleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) pada 2015 bahawa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) memiliki peralatan simulator golf di sebuah pusat latihan.

Ketika itu Asyraf merupakan timbalan menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama).

Dalam satu kenyataan semalam, Pemuda Bersatu menjelaskan Syed Saddiq mengambil bahagian dalam video promosi untuk satu pertandingan golf amal sayap itu yang dijadual diadakan pada 26 Januari ini.

"Pejabat menteri di Kementerian Belia dan Sukan dipilih sebagai lokasi (rakaman) kerana menteri memiliki jadual yang ketat dan hanya boleh luangkan setengah jam.

"Beliau (Syed Saddiq) dipilih sebagai model atas kapasitinya sebagai ketua pemuda Bersatu dan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mempromosi acara itu... Kami tiada wang untuk bayar model, pelakon atau ikon golf terkenal," kata Exco Pemuda Bersatu Zainal Abidin Sihab di Facebook, selepas gambar itu mula tersebar di media sosial.

 

Lihat Komen
ADS