Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suruhanjaya: Bogel dan ketuk ketampi haram
Diterbitkan:  Jan 23, 2006 5:59 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Suruhanjaya Bebas kes siasatan wanita bogel dan ketuk ketampi dalam lokap polis mencadangkan amalan polis mengarahkan orang tahanan melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel dihentikan serta merta.

Menurut suruhanjaya itu, amalan tersebut juga haram di sisi Syariah dan mencabul hak asasi manusia.

Suruhanjaya lima anggota yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah itu juga menjelaskan, setelah meneliti segala bukti dan melihat pada prinsip-prinsip Syriah serta hak asasi manusia, pengalaman yang dilalui oleh wanita yang terdapat dalam klip video itu adalah suatu yang tidak wajar, menghina dan memalukan.

Lain-lain anggota suruhanjaya itu terdiri daripada Tan Sri Lim Ah Lek, Datuk Kamilia Datuk Ibrahim dan Kuthubul Zaman Bukhari, sementara Datuk Hamzah Md. Rus yang juga Timbalan Ketua Setiausaha (Khas), Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

Laporan penuh suruhanjaya itu dikeluarkan kepada umum hari ini.

Rumusan suruhanjaya itu juga dibuat berdasarkan alasan-alasan berikut;

1. Tiada peruntukan di dalam IGSO, Perintah Tetap Ketua Polis Daerah, Peraturan lokap dan peraturan lain yang membenarkan orang tahanan dibogelkan dan diarah melakukan ketuk ktempi.

2. Amalan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel bukan amalan standard polis.

3. Perbuatan menanggalkan pakaian dan mengarahkan orang tahanan wanita untuk ketuk ketampi dalam keadaan bogel adalah amalan tidak wajar yang diamalkan oleh PDRM.

4. Suruhanjaya itu juga berpendapat amalan mengarahkan berbogel dan ketuk ketampi bertentangan dengan IGSO and Perintah Tetap Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang mahu orang tahanan disoalsiasat dengan hormat dan dan sopan itu juga melanggar hak asasi manusia.

5. Walaupun ada saksi mengesahkan ketuk ketampi berjaya mengeluarkan dadah atau barang yang tersembunyi dari tubuh orang tahanan, namun suruhanjaya berpendapat bukti-bukti dari beberapa kes itu tidak boleh menghalalkan layanan buruk terhadap orang tahanan.

6. Perbuatan mengarahkan orang tahanan yang disoalsiata melakukan ketuk ketampi adalah haram kerana ia mendedahkan aurat dan mencemar maruah seeorang.

7. Pendapat pakar perubatan yang mengatakan ketuk ketampi bukan satu cara berkesan utnuk mengeluarkan barang tersebunyi dari tubuh

menolak sama sekali kewajaran amalan ketuk ketampi.

8. Suruhanjaya juga berpendapat amalan membogelkan orang tahanan dan mengarahkan mereka ketuk ketampi adalah bertentangan dengan Artikel 5 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

9. Melayan orang tahanan dengan cara demikian juga melanggar prinsip 1 dan 6 Prinsip-prinsip Perlindungan Tubuh Orang Tahanan Di Penjara. Mengarah wanita di dalam klip video itu berbogel dan ketuk ketampi adalah di luar batas kemanusiaan dan tidak bermaruah. Mangsa merasa malu dan marah. Maruah mangsa telah dicemar. Maruah manusia tidak boleh dipermainkan, sebaliknya perlu dilindungi dan dihormati.

10. Akhirnya suruhanjaya merumuskan mengikut Artikel 2 and Artikel 5 Kod Amalan Pegawai Penguatkuasa, pegawai polis yang mengarahkan perbuatan bogel dan ketuk ketampi itu tidak boleh menutup perbuatannya dengan mengatakan ia mematuhi arahan dari pegawai atasannya.

Suruhanjaya itu ditubuhkan hujung tahun lalu selepas berlaku bantahan meluas ekoran pendedahan oleh sebuah akhbar Cina dan anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada November 2005, kononnya seorang warga China yang ditahan untuk siasatan dipaksa melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel dalam lokap polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS