Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri setpol PM pertahan lantikan sebagai pengerusi AIM

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Junaidah Kiting menegaskan pelantikannya ke jawatan itu tiada campur tangan daripada Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, tindakan mana-mana pihak yang menuduh berlaku amalan kronisme kerana beliau merupakan isteri kepada setiausaha politik kepada perdana menteri juga tidak adil memandangkan lantikan itu diputuskan pengurusan tertinggi AIM.

“Pelantikan saya sebagai pengerusi AIM merupakan keputusan yang diputuskan oleh pihak pengurusan tertinggi AIM dan tidak ada kena-mengena serta campur tangan daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Adalah tidak wajar ada pihak membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud amalan kronisme dalam pelantikan saya sebagai pengerusi AIM hanya kerana status saya sebagai isteri kepada salah seorang setiausaha politik perdana menteri,” katanya kepada Malaysiakini.

Junaidah berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini yang memetik dakwaan pengasas AIM Prof Sukor Kasim bahawa berlaku amalan kronisme memandangkan beliau merupakan isteri kepada setiausaha politik perdana menteri.

Cemar nama baik

Mengulas lanjut, pengasas produk kecantikan itu berkata tuduhan tersebut sekaligus mencemarkan nama baik dirinya dan suami dari sudut integriti.

“Malah dakwaan ini juga dilihat dangkal seolah-olah mengenepikan kelayakan, pengalaman serta bakat seseorang yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sesebuah organisasi.

“Malah, sebelum dilantik sebagai pengerusi AIM, saya berusaha keras sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya dan mampu membina jenama dalam perniagaan,” tegasnya.

Sebelum ini, Sukor (gambar, kanan) turut menggesa agar badan itu kembali kepada matlamat asalnya iaitu untuk membantu golongan miskin selaras dengan ikrar yang diungkapkan.

Menurut Sukor pengurusan AIM pada zaman BN menjadi kerajaan telah menubuhkan anak syarikat yang jelas bertentangan dengan matlamat asal badan itu berdasarkan Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992.


BACAPengasas sedih AIM 'lari dari landasan asal'


Menjawab perkara itu, Junaidah berkata isu tersebut bukannya diputuskan oleh pengurusan terbaru AIM.

“Bagaimanapun, pengurusan baru AIM yang mana saya selaku pengerusi sentiasa tegas serta tidak bertolak ansur dengan mana-mana salah laku atau penyelewengan yang berlaku dalam badan itu.

“Malah, AIM telah pun menyerahkan dokumen serta maklumat berhubung isu anak syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut pada 21 Disember lalu,” katanya.

Junaidah turut menafikan tabung amanah itu menyimpang dari matlamat asal penubuhannya sebaliknya pengurusan terbaru sedang berusaha membantu peminjam skim Sahabat AIM keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Berhubung dakwaan bahawa AIM telah menyimpang daripada matlamat asal, dakwaan itu tidak benar kerana pengurusan baru AIM sentiasa memberikan fokus kepada usaha meningkatkan sosio ekonomi serta membasmi kemiskinan rakyat menerusi perniagaan dan keusahawanan.

“Malah AIM ketika ini sentiasa berusaha untuk menambah bilangan peminjam dengan sasaran 400,000 ahli Sahabat AIM sekaligus mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Lihat Komen
ADS