Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pulau Banggi: Terbesar, terpinggir dan terlupakan

ULASAN | Laporan media tentang kebakaran di Pulau Banggi awal bulan ini memberikan perincian yang lazim dinyatakan dalam berita seumpamanya: Melibatkan 81 rumah, dua kuarters guru, lebih 300 penduduk. Tiada korban nyawa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Berita itu disiarkan ketika berita-berita kempen PRK Cameron Highlands yang masuk hari kedua memenuhi ruangan berita utama.

Yang tidak dinyatakan dalam laporan kebakaran itu ialah ia terjadi di pulau terbesar dalam peta Malaysia dengan populasi lebih 20,000 penduduk yang tidak pernah melihat kewujudan balai bomba.

Namun, ketiadaan balai bomba bukanlah satu-satunya sumpahan pada Pulau Banggi yang menjadi realiti pedih penduduknya.

Afif berada di kampung halaman di Kedah menemani isterinya yang bercuti sempena kelahiran anak kedua mereka ketika mendapat tahu rumah di perkampungan atas air yang disewanya di pulau itu turut hangus terbakar.

Berkongsi di Facebook tentang kejadian itu, Afif memuat naik gambarnya pada hujung tahun lalu. Gambar itu memaparkan Afif menatang sepinggan piza yang dimasak isterinya sambil dikelilingi tujuh kanak-kanak.

Anak pertama Afif yang berusia satu tahun turut terselit dalam gambar itu, membelakangi kamera memerhati gelagat ayahnya.


"Maaf kawan-kawan, aku tidak dapat bersama kalian. Sekolah kita habis musnah sekelip mata, barang-barang yang aku beli dari duit individu yang konsisten menderma habis musnah," kata keterangan yang disertakan Afif.

Tujuh kanak-kanak yang bersama Afif dalam gambar itu adalah antara ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang ada di Sabah.

Mereka adalah 'angka-angka' yang terlepas daripada statistik kanak-kanak buta huruf - yang tidak bersekolah kerana tidak mampu dan tidak layak.

Kanak-kanak tanpa kerakyatan

Sejak tahun lalu, Afif menjadikan rumah sewanya sebagai 'bilik darjah' untuk mengajar kanak-kanak itu membaca. Mereka adalah anak-anak jiran Afif di Pulau Banggi, pulau tempat isteri Afif bertugas sebagai guru sekolah rendah.

Selepas kelahiran anak pertama, Afif berhenti kerja dan mengikut isterinya ke Sabah. Pendapatan keluarga mereka mengecil, tapi Afif lebih mudah tidur pada waktu malam kerana tidak perlu membayangkan isterinya mengangkat air dari sekolah untuk kegunaan harian.

Afif juga tidak mahu kejadian rumah sewa isterinya dipecah masuk berulang, apatah lagi dengan bekalan elektrik yang selalu terputus.

Beberapa bulan tinggal di pulau itu membuka Afif kepada dunia baru dengan realiti yang jauh berbeza dari tempat lain di negeri di semenanjung yang pernah dikunjunginya.

Dengan kehidupan yang sedia perit, Afif tidak dapat membayangkan nasib jiran-jirannya selepas kebakaran itu, terutamanya keluarga kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan.

Afif masih tidak dapat menghubungi anak-anak muridnya. Namun, daripada maklumat yang Afif terima, rumah kanak-kanak berkenaan mungkin selamat.

"Kalau budak-budak tu ada lagi, aku akan pergi cari mereka dan sambung ajar membaca. Tapi sekarang aku kena cari rumah sewa baru dulu," kata Afif.

Pembinaan bali bomba ikut giliran

Afif dan isterinya akan kembali ke Pulau Banggi bulan depan, sebaik cuti bersalin isterinya habis. Meski dengan kebakaran terbaru itu, tidak banyak yang akan berubah pada Pulau Banggi sebaik Afif kembali nanti.

Dari RM5 bilion peruntukan yang diumumkan kerajaan pusat untuk kerajaan negeri Sabah dalam belanjawan tahun ini, pembinaan balai bomba di Pulau Banggi masih samar.

Laporan susulan berhubung kebakaran itu memetik Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, sebagai berkata "pembinaan balai bomba di sesuatu tempat bergantung kepada giliran, selain mengikut kemampuan kewangan".

Untuk tidak kedengaran terlalu mengecewakan, selain mencadangkan pengaktifan Pasukan Bomba Sukarelawan, Kamarulzaman berkongsi cadangan untuk meletakkan satu alat pemadam api bagi setiap rumah di Pulau Banggi.

Bagi penduduk Pulau Banggi, sangat kecil kemungkinan bahawa cadangan itu retorik pertama yang mereka dengar.

Lihat Komen
ADS