Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK CAMERON | Tiada jalan raya, tiada program kesihatan, tiada kemudahan.

Berikut adalah masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan yang hanya boleh diakses dengan pacuan empat roda, di kawasan parlimen Cameron Highlands.

Walau enam dekad dengan masalah itu, rekod menunjukkan Orang Asli - yang membentuk hampir suku daripada jumlah pengundi - setia menyokong BN.

Kini BN tidak lagi mengawal agensi persekutuan yang menjadi tempat Orang Asli bergantung. Justeru ke manakah sokongan masyarakat itu pada PRK kali ini?

Di Kampung Janggap, kira-kira 35km jalan berliku dari Sungai Koyan, Malaysiakini menyaksikan beberapa ketua kampung Orang Asli - atau tok batin - berkongsi kisah perjuangan dan kecekalan di program kempen Pakatan Harapan (PH) Rabu lalu.

"Masa kami sampai di KL, kami rasa takut. Itu pertama kali masuk mahkamah," kata Harun Siden kepada kira-kira 80 penduduk. "Kami berdepan peguam dan orang pandai. Apa yang kami tahu?"

Harun Siden

Apa yang mereka tahu - dan mampu buktikan - adalah pada PRU ke-14 sebahagian penduduk kampung mereka telah dirasuah. Keterangan mereka membawa kepada pembatalan kemenangan Naib Presiden MIC C Sivarraajh pada PRU itu.

Justeru, boleh dikatakan 12 saksi ini adalah sebab utama PRK Cameron Highlands dilakukan.

"Ketika PRU ke-14, kita Orang Asli diperguna dan ditipu, dengan banyak cara. Mereka ancam kita. Kita dilayan seperti orang bodoh.

"Jadi saya beritahu diri sendiri yang saya perlu cari pilihan lain, untuk mereka yang benar-benar mahu bantu kita," kata Harun.

'Seperti terpisah dari dunia'

Harun merupakan tok batin Kampung Sungai Tual A. Ia terletak di daerah mengundi Pos Sinderut, bersama-sama Kampung Janggap dan kira-kira 12 lagi kampung lain.

Pos Sinderut ada keunikannya sendiri - ia satu-satunya daerah mengundi Orang Asli yang mana PH mendapat satu perempat undi pada PRU ke-14. Di kebanyakan daerah mengundi Orang Asli yang lain, PH kalah besar.

Ia kini menjadi kawasan tumpuan PH, yang berharap mendapat 30 peratus undi Orang Asli berbanding tiga hingga lima peratus sebelum ini.

Tok Batin Kampung Janggap, Yok Bim Tihang sendiri merupakan penyokong baru PH. Mesej Yok Bim buat penduduk kampungnya adalah walaupun Orang Asli pada satu sisi bergantung kepada bantuan kerajaan, mereka juga perlu memantau sendiri orang yang berada dalam pentadbiran.

"BN menipu kita Orang Asli! Mereka ambil tanah dan hutan kita, cemarkan sungai kita. Sebab itu saya sangat marah, dan tak pernah puas hati dengan mereka.

"Saya berterima kasih kepada PH atas bantuan mereka, tapi jangan tipu kita. Jika kita lihat anda sama saja seperti BN, kita akan singkirkan anda," katanya kepada hadirin.

Yok Bim Tihang

Zainal Kaptar, penduduk Kampung Janggap dan seorang lagi saksi dalam petisyen pilihan raya Cameron Highlands, berkongsi betapa penduduk kampung berasa terpisah dengan negara sendiri.

"Kita seperti terpisah dari dunia, seolah-olah tiada kerajaan. Sekian lama kita hidup seperti tiada kerajaan untuk menjaga kita," katanya.

Ikrar Kit Siang

Harun, Zainal dan Yok Bim - ketiga-tiganya daripada suku Semai - bercakap dalam bahasa Melayu.

Mesej mereka bukan saja untuk penduduk kampung, tetapi juga buat tetamu dari suku Temiar dari luar Cameron Highlands, dan pemimpin DAP Lim Kit Siang.

Terdahulu, Lim bersama sekumpulan pengiring mengambil masa lebih dua jam untuk membuat perjalanan 35km itu. Mereka perlu melintasi sungai yang deras dan melalui jalan berlumpur dan berlubang besar. DAlam perjalanan, ada kenderaan yang tersekat dek lumpur, ada juga enjin yang menjadi terlalu panas.

Setibanya beliau di Kampung Janggap, beliau memberikan penghargaan kepada para saksi petisyen atas keberanian mereka dan menggelarkan mereka sebagai "perwira". Beliau juga memperkenalkan pasukan PH Kelantan yang terdiri daripada Orang Asli Temiar dari Gua Musang, kepada kira-kira 60 penduduk.

Diketuai anggota DAP Nasir Dollah, yang bertanding di DUN Galas pada PRU ke-14, pasukan itu ditugaskan meraih sokongan di 18 kampung di Pos Sinderut.

Ketika berucap, Lim berkata beliau bersimpati dengan masalah yang dihadapi kampung itu dan menyalahkan kerajaan BN terdahulu serta kerajaan Pahang yang menurutnya telah mengabaikan kebajikan mereka.

"Saya jemput bekas perdana menteri Najib Razak untuk datang ke sini. Keadaan di sini benar-benar teruk," katanya.


Baca'Ada Orang Asli ingat Najib masih PM, BN perintah negara'


Lim berjanji PH akan menyelesaikan masalah mereka.

Satu lagi janji Lim adalah untuk menggesa pemansuhan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang menurutnya gagal memainkan peranan.

"Kami akan gantikannya dengan (badan) yang baru dan meletakkan garis masa 30 tahun untuk pembangunan Orang Asli," katanya, sambil menambah akan membawa perkara itu kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang dijangka menggantikan Dr Mahathir Mohamad dalam masa dua tahun.

Lim yang berusia 78 tahun telah pun masuk ke penempatan Orang Asli yang terpencil beberapa minggu sebelum penamaan calon. Biasanya beliau berkunjung ke beberapa kampung sehari.

Beliau sebelum ini merungut tentang "jalan roti canai" yang saban hari digunakan masyarakat Orang Asli, selepas mengalaminya sendiri ketika terperangkap ketika malam tahun baru dalam kunjungannya ke Pos Lenyang dan Pos Titom.

Najib bangkit jasa

Tiga hari selepas kunjugan DAP di Pos Sinderut, Najib dilihat berkempen untuk BN di sekitarnya - di Kampung Belau, kira-kira lima minit perjalanan dari jalan utama dan dapat diakses kereta biasa.

Berbeza dengan Kampung Janggap, Kampung Belau memiliki rumah batu yang dibina kerajaan. Tetapi sama seperti kampung lain, ia juga tiada bekalan air, elektrik dan saliran.


BacaPRK Cameron: BN guna psikologi songsang - Penganalisis


Dalam ucapannya, Najib berkata beliau sentiasa mengutamakan kebajikan Orang Asli semasa masih menjadi perdana menteri.

"Saya peruntukkan hampir RM200 juta untuk Orang Asli. Projek perumahan Sungai Ruil memakan belanja RM44 juta dan kerajaan beri rumah bernilai tinggi secara percuma.

"Dan di Pos Senderut ini, jalan raya di sini memakan belanja RM35 juta," katanya disambut tepukan hadirin.

Kira-kira 300 penduduk hadir di kempen BN itu - kebanyakannya memakai baju berwarna biru tua gabungan itu. Mereka turut diberi makanan percuma dan dihiburkan persembahan nyanyian.

Selain mengingatkan pengundi tentang jasa BN, Najib juga menggesa mereka melakar sejarah dengan memilih Ramli Mohd Nor, seterusnya menjadikannya Orang Asli pertama yang menjadi anggota parlimen.

Dengan 7,500 pengundi, Orang Asli membentuk demografi ketiga terbesar di Cameron Highlands. Bagaimanapun mereka tidak tinggal di satu kawasan yang khusus, menyebabkan PH dan BN perlu berkempen di satu kampung dalam satu masa.

Pemerhati menjangka Orang Asli bakal menjadi faktor penentu dalam PRK yang dilihat penting buat kedua-dua gabungan itu.

Lihat Komen
ADS