Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Gila beri nama Inggeris pada hartanah bukti minda masih dijajah'

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyifatkan "kegilaan" pemaju menamakan tempat dengan nama Inggeris sebagai suatu bentuk penjajahan.

Katanya, selain perlu mempertahankan nama asal sesuatu tempat yang mengandungi sejarahnya tersendiri, penggunaan bahasa kebangsaan juga perlulah diutamakan.

“Seperti yang berlaku sekarang, (contohnya) Southville City, Bangi Gateway, dan (ini) termasuklah kerisauan kita melihat kondominium.

“Selalunya hujah (pemaju) adalah apabila kondominium dinamakan dengan nama Inggeris, nilainya akan naik.

“Mentaliti kita masih dijajah. Kita anggap semua yang Inggeris ni, yang barat, yang Eropah, semua hebat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, pihak pembuat dasar dan pemaju mestilah mempunyai akar budaya yang kuat bagi mempertahankan warisan agar tidak terhakis.

“Nanti akan semua (nama tempat) bertukar menjadi nama Inggeris, kita pun tak tahu lagi adakah ini Malaysia, atau negara barat,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemasyhuran semula nama Kampung Kerinchi bagi menaikkan martabatkan kawasan itu.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, dan turut dihadiri oleh Anggota Palimen Port Dickson Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Hanya persepsi

Menurut Fahmi, pemasyhuran itu tidak bermaksud nama Bangsar South tidak digunakan lagi selepas ini, sebaliknya ia bagi mengenal pasti kawasan yang dikenali sebagai Kampung Kerinchi berdasarkan warisan dan sejarah.

Jelas Fahmi, pemasyhuran itu menegaskan bahawa bangunan seperti Bangsar South, stesen LRT Universiti, Residensi Kerinchi, Vista Angkasa, Taman Bukit Angkasa, Pantai Hillpark dan lain-lain semuanya terletak dalam kawasan Kampung Kerinchi yang lebih besar.

Mengulas lanjut berkenaan pemasyhuran tersebut, Abang Sallehuddin memandang usaha Fahmi tersebut sebagai langkah tepat dan bersesuaian dengan identiti kebangsaan.

“Bangsar South misalnya, tidak ada unsur-unsur tempatan di situ, jadi memang banyak pihak mempersoalkan tindakan menamakan sesuatu tempat dengan unsur-unsur luar.

“Walaupun nama satu-satu bangunan itu Hotel New York , tapi jika keadaanya sangat buruk pun tak membawa apa-apa makna.

“Jadi (serupalah dengan) kampung, dikaitkan dengan persepsi negatif. Itu hanya persepsi semata-mata,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS