Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

ULASAN | Dalam cuti Thaipusam, di twit, saya membuat sedikit kajian penerimaan netizen terhadap sekolah satu aliran.

Daripada 707 jumlah yang ikut mengundi, 89 peratus bersetuju dengan gesaan agar diwujudkan sekolah satu aliran, dihapuskan sekolah vernakular, yang bagi saya menjadi punca pemisahan kaum di negara ini. Sejak sekian lama.

 Sekolah jenis kebangsaan yang diwarisi sejak era BN, dan nampak gayanya akan diteruskan oleh Pakatan Harapan adalah lambang kemunafikan dan pembohongan terbesar tentang cita-cita mendirikan bangsa dan negara Malaysia. Demikian kaum muda liberal gadungan yang kini menguasai kabinet PH, termasuk menteri pendidikannya, adalah menteri yang tidak boleh diharap untuk menyelesaikan asas pembentukan Malaysia melalui sistem pendidikan—seperti yang dijanjikan ketika tanah air ini mencapai kemerdekaan.

Dan apabila kita bercakap tentang sekolah satu aliran, saya juga teringat kisah seorang pegawai Belanda. Namanya Multatuli.

Dia dihantar ke Jawa sebagai penolong gabenor. Tidak lama, dia pulang semula ke Belanda dengan hati yang luka.

Multatuli melihat bagaimana kekejaman pemerintah Belanda di Jawa—di pertengahan abad ke-19 itu. Kaum pribumi dikerah kerja paksa: menanam, memetik dan memikul kopi sampai ke pelabuhan. Sesen pun tidak dibayar. Keadaan sedemikian adalah gambaran sepenuhnya bangsa yang jadi hamba di bumi sendiri.

Multatuli. Gambar Wikipedia 

 Untuk meneruskan hidup, kaum pribumi perlu melakukan dua kerja. Selain menjadi buruh paksa di ladang dan pelabuhan milik Belanda, mereka menanam padi dan memelihara binatang ternak.

Tapi di situ pun kaum pribumi tidak selamat. Hasil padi atau ternak dirampas pula oleh penguasa tempatan; oleh bupati, yakni penguasa pribumi sendiri. Kaum miskin dikenakan cukai yang tinggi.

Apabila pemerintah Belanda menegur perbuatan itu, sang bupati sudah sedia dengan jawapan. Baginya, cukai yang tinggi dan perampasan harta benda termasuk binatang ternakan adalah lebih baik daripada kerja paksa sepertimana yang diamalkan Belanda.

Bagi Multatuli, keduanya kejam. Kekejaman kedua pihak penguasa itulah yang dirakam kembali di dalam novelnya yang masyhur dengan judul, Max Havelaar.

Novel berkenaan ditulis dan diterbitkan di Belanda selepas dia pulang ke Amsterdam dan berhenti kerja. Novel itu dapat sambutan hangat. Walaupun dijual dengan harga yang agak mahal pada zamannya, namun lebih 1,500 naskhah laku sebelum diulang cetak.

Politik etika

Max Havelaar juga memukul pemerintah Belanda yang kemudiannya menggubah sedikit dasar di tanah jajahan. Demi semacam menebus dosa, diperkenalkanlah satu dasar yang dikenali sebagai “politik etika” dengan program yang mahu membantu kaum pribumi.

Sekolah untuk anak-anak Jawa pun diwujudnya. Namun sekolah berkenaan dipisahkan dengan sekolah kepada anak-anak Belanda, di Jawa. Kemudahan di sekolah anak-anak Belanda juga jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sekolah anak-anak pribumi.

Sekolah vernakular, atau apa yang disebut sebagai “sekolah pelbagai aliran” sepertimana yang wujud di Malaysia hari ini, merupakan kesinambungan daripada dasar era penjajahan. Anak-anak kecil dipisah-pisahkan dengan pelbagai alasan. Matlamatnya adalah untuk menanamkan perasaan syak wasangka dan prejudis antara kaum. Tidak kurang dan tidak lebih dari itu.

Sistem pendidikan telah digunakan sebagai pada akhirnya memenangkan sang penguasa. Dalam ukuran hari ini, sistem sebegitu lebih buruk lagi apabila bukan sahaja dilakukan pemisahan kaum, tetapi anak menteri juga tidak dihantar untuk bersama di dalam sistem ini.

Di beberapa negara selepas era penjajahan, dasar memisahkan anak sejak di bangku sekolah tetap berlaku. Selain contoh di Jawa yang saya ceritakan di atas, paling berkesan ialah apa yang diwujudkan ketika dasar Aparthied di Afrika Selatan. Anak-anak kaum kulit putih dipisahkan dengan kaum pribumi yang berkulit hitam.

Maknanya Afrika Selatan sebagai sebuah negara, tapi ‘terbelah’ dua. Satu Afrika Selatan kulit putih, satu lagi Afrika Selatan kulit hitam. Bukankah keadaan yang sama sahaja seperti Malaysia sejak lebih enam dekad selepas merdeka yang terbelah tiga? Ada Malaysia untuk Melayu, Malaysia untuk Cina dan Malaysia untuk India.

Juga di Bosnia-Herzegovina, sampai hari ini, pemisahan sedemikian masih wujud. Walaupun keduanya bangsa kulit putih, tetapi kulit putih Bosnia dipisahkan sejak sekolah dengan kulit putih Herzegovina. Biasanya bagi kaum Bosnia yang beragama Islam, keadaan sekolah mereka sangat uzur dan buruk.

Sebuah sekolah Cina ketika pertandingan menulis kaligrafi.

Keadaan serupa seperti di negara kita sekarang, selain sekolah jenis kebangsaan untuk Cina dan India, sekolah menengah swasta aliran Cina juga jauh lebih gah berbanding sekolah menengah kebangsaan. Semakin lama, realiti pemisahan itu semakin buruk.

Dan saya ulang, tindakan menteri kewangan, Lim Guan Eng memberikan peruntukan kepada sekolah atau kolej swasta adalah tindakan keterlaluan selain sejenis pengkhianatan terhadap pembentukan kebangsaan. Juga perlu diulang, begitulah wajah sebenar cauvanistik yang ditunjukkan untuk terus memecahbelahkan kaum-kaum di negara ini.

Kepelbagaian Malaysia harus akhirnya menjadi satu; dan kesatuan Malaysia wajar mengekalkan kepelbagaian. Ketika kita menangis melihat kekalahan Lee Chong Wei dalam sesuatu perlawanan akhir badminton misalnya, begitulah semua rakyat Malaysia juga wajar menderita perasaannya apabila melihat anak-anak kita dipisahkan dengan sistem pendidikan ala rejim Apartheid.

Di sebuah negara yang adil, kepentingan kaum minoriti dan majoriti keduanya harus diambil kira dan dijaga. Semua rakyat perlu tunduk kepada negara, tapi bukannya mengikut rentak parti politik perkauman: termasuklah Umno, PAS, MCA, MIC, DAP dan yang lain-lainnya, yang kini dilihat orang ramai seperti lembu dicucuk hidung sahaja.

Kalau orang asing seperti Multatuli pun tidak tergamak melihat manusia ditindas dan dipecahbelahkan antara warna kulit, kita tidak faham bagaimana pemimpin Pakatan Harapan—termasuk yang bercakap mengenai “rahmatan lil alamin”, keadilan dan penyatuan kaum pribumi—menjadi buta tuli. Jauh sekali menjadi jaguh kemanusiaan dan persaudaraan seperti Multatuli.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS