Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang penyelidik politik Perancis mendakwa beliau menjadi mangsa buli dan diugut para pegawai imigresen ketika tiba di KLIA2 pada hari Isnin lalu.

Beliau berada di sini untuk menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan atas undangan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Ching Tong.

Sophie Lemiere, mendakwa seorang pegawai menahan beliau yang baru tiba dari Singapura di kaunter imigresen daripada memasuki negara sekitar pukul 9 malam tadi.

Menurut Lemiere, pegawai imigresen berkenaan memberitahunya hal ini disebabkan namanya ditandakan berada dalam senarai polis.

"Apabila saya tiba di kaunter imigresen, pegawai itu memandang pasport saya dan kemudian memeriksa rekod saya. Dia berkata ada masalah.

"Saya menjelaskan kepada beliau bahawa saya datang untuk hadir persidangan dan menyebut bahawa saya tahu nama saya telah ditandakan oleh polis kerana penyelidikan saya ketika (era) kerajaan terdahulu," kata Lemiere dalam laporan polisnya yang dilihat Malaysiakini.

Pegawai imigresen tak yakin surat

Lemiere yang merupakan pakar kajian Malaysia di Ash Center for Democratic Governance and Innovation dari Universiti Harvard berkata telah menjelaskan kepada pegawai itu mengenai jemputan tersebut.

Beliau membuat laporan mengenai insiden itu di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya malam tadi.

Beliau hadir ke balai polis ditemani peguam N Surendran dan Latheefa Koya.

Surendran berkata dakwaan gangguan terhadap Lemiere adalah serius kerana beliau ahli akademik terkenal yang telah mengkaji politik Malaysia bagi suatu jangka masa yang lama.

"Cukup jelas (nama) beliau diletak dalam senarai hitam oleh kerajaan BN terdahulu kerana mereka tidak gembira dengan hasil penyelidikannya terhadap kegiatan mereka.

"Kami terkejut para pegawai imigresen memilih untuk menggunakan senarai hitam kerajaan dahulu untuk membuatkan Sophie terpaksa melalui pengalaman buruk itu.

"Laporan (polis) ini memperincikan bagaimana beliau dikeji dan diugut oleh beberapa pegawai ketika kejadian itu semalam," kata peguam itu kepada Malaysiakini di luar bangunan ibu pejabat polis.

Surendran berharap pihak berkuasa termasuk Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin akan menjalankan siasatan mengenai hal ini.

Ketika di KLIA2, Lemiere (gambar) berkata dibawa ke pejabat imigresen untuk disoal siasat lanjut.

Katanya, berlaku pertikaian kerana pegawai imigresen terbabit mengatakan tidak yakin selepas melihat surat jemputan yang dikatakan itu.

Malaysiakini difahamkan persidangan tersebut yang diberi nama Perwira Dialogue: Navigating The Risk Of Thucydides Trap akan dirasmikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada hari Selasa.

Liew ketika dihubungi kemudian mengesahkan Lemiere telah dijemput untuk menghadiri majlis itu.

Lemiere mendakwa salah seorang pegawai menjerit kepadanya dan seorang pegawai perempuan telah melabelnya sebagai "sh * t" dan "bodoh" beberapa kali.

Dalam laporannya, Lemiere berkata beliau akhirnya dilepaskan sekitar jam 9.55 malam pada hari itu.

Malaysiakini telah menghubungi jabatan imigresen bagi mendapatkan penjelasan.

'Lemiere provokasi'

Seorang jurucakap jabatan imigresen berkata para pegawai juga telah memfailkan laporan mengenai perkara itu.

"Subjek (Lemiere) memprovokasi dan menghina pegawai, dia tidak mahu mematuhi perintah," katanya, sambil menjelaskan jabatan imigresen sedang menyiasat kejadian itu.

Lemiere merupakan pengarang buku Misplaced Democracy: Malaysian Politics and People, yang antara lain menyorot kegiatan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) atau lebih dikenali sebagai 'Tiga Line' antara NGO Melayu yang sangat terkenal dan mempunyai anggotanya di seluruh pelosok Malaysia.

Beliau menjalankan kajian selama lima tahun di Malaysia mengenai Pekida.

Lemiere mendakwa Pekida adalah nama salah satu daripada banyak NGO yang diwujudkan oleh rangkaian tersebut untuk memberikan sokongan politik, menghalalkan sebahagian daripada aktiviti mereka, dan memudahkan penerimaan dana dari parti pemerintah (BN).

Dalam bab berjudul “Gangsta & Politics in Malaysia”, Lemiere mendapati 'Tiga Line' mempunyai dua bentuk iaitu entiti sah dirujuk sebagai “putih” dan kumpulan samseng bawah tanah digelar “merah”.

Bagaimanapun, Pekida dalam laporan media menafikan mempunyai kaitan dengan aktiviti haram.

“Tidak semua anggota putih aktif dengan merah, seseorang itu boleh menjadi aktivis NGO itu tetapi tidak terlibat dengan samseng.

“Dengan kata lain, tidak semua anggota Pekida terlibat dalam aktiviti jenayah tetapi ramai juga yang melihat kepada peluang perniagaan daripada jaringan besarnya,” kata Pekida.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS