Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kelantan sedia henti pembalakan jika terima royalti minyak’

Kerajaan persekutuan Pakatan Harapan digesa mempercepatkan pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan jika betul-betul prihatin terhadap masyarakat Orang Asli, kata Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, sekatan royalti adalah antara sebab kerajaan negeri terpaksa menebang balak.

"Kerajaan persekutuan sepatutnya menyegerakan pembayaran royalti, antara sebab kita terpaksa tebang balak kerana hasil negeri yang terhad.

"Kalau kita dapat hasil royalti seperti mana yang sepatutnya kita mungkin boleh berhenti terus tebang balak," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan saman kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri berhubung isu tanah adat suku Temiar di Pos Simpor, Gua Musang, baru-baru ini.

Mohd Amar berkata, royalti yang dianggarkan itu berjumlah antara RM500 juta hingga RM700 juta setahun, manakala hasil balak pula adalah lebih kurang RM100 juta hingga RM120 setahun.

"Melalui royalti itu kita boleh cover, mungkin kita boleh hentikan terus pun sebab itu saya kata benda ini ada unsur politik.

“Kalau dia bagi sungguh katakan RM700 juta setahun, selesai masalah Orang Asli pun tidak terganggu dan sekarang pun kita tidak ganggu penempatan Orang Asli," katanya.

Tambahnya,dasar kerajaan negeri Kelantan selari dengan keputusan mahkamah dalam dua kes sebelum ini.

"Mahkamah minta kerajaan negeri wartakan kawasan penempatan, pertanian. Ini memang dasar kerajaan (negeri) dan kita memang tak pernah lulus pembalakan di kawasan penempatan dan penanaman.

"Semua dalam hutan simpan isu kawasan rayau, bagi kita seluruh hutan simpan Kelantan ini adalah kawasan rayau Orang Asli.

"Walau kita tidak gazet tapi dari segi amalannya, Orang Asli bebas keluar masuk hutan ambil hasil dari segi undang-undang. Nak masuk hutan simpan kena ada lesen tapi bagi Orang Asli ini istimewa. Mereka tak perlu minta kebenaran, keluar masuk bawa keluar hasil hutan, " katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor.

Walau bagaimanapun, kata Mohd Amar, kerajaan negeri tetap tidak mengiktirafkan tanah adat.

"Tetapi kita mengiktiraf hak mereka untuk kawasan rayau dan cutivation area cuma kita tak panggil tanah adat

"Kita minta Unisza (Universiti Sultan Zainal Abidin) buat kajian dengan Orang Asli Temiar beberapa bulan lalu, rumusan kajian hantar kepada kerajaan negeri, Orang Asli ini hanya minta tanah pusaka dia.

"Istilah dia tak panggil tanah adat, tanah pusaka ini kawasan tapak rumah dan kawasan bercucuk tanam. Kita campur dalam enam ekar satu keluarga.

"Memang ini dasar kerjaaan macam itu cuma ada setengah tempat belum warta kerana kita hadapi isu teknikal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS