Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu sama ada syarikat China Communications and Construction Company (CCCC) sudah ditamatkan kontraknya bagi membina projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) atau tidak.

Diminta untuk menjelaskan perkara itu, perdana menteri berkata: "Saya tak tau (sudah) ditamatkan atau tak."

Mahathir berkata satu daripada cara kerajaan hari ini menangani isu pembinaan ECRL ialah dengan menamatkan kotrak yang diberi kepada syarikat dari China itu.

"Tapi apabila ditamatkan kontrak, (kerajaan) kena bayar pampasan billion (ringgit)," katanya selepas merasmikan program skim perlindungan insurans mySalam di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini.

Skim itu memberikan perlindungan insurans dan takaful kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah yang dikategorikan sebagai B40dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Melalui mySalam penerima manfaat dapat dibantu jika dikemasukkan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

Ia dijangka memberi manfaat kepada 3.69 juta warganegara yang berusia di antara 18 hingga 55 tahun.

Turut hadir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Jumaat lalu The Edge Markets yang memetik sumber melaporkan kerajaan menamatkan kontrak CCCC bagi membina projek ECRL yang bernilai RM81 bilion.

Akhbar Singapura, The Straits Times, pula melaporkan Putrajaya sedang mencari kontraktor bagi menyiapkan projek tersebut.

Putrajaya juga dilaporkan mahu mengehadkan kos projek tersebut kepada hanya RM40 bilion selain menggunakan lebih banyak bahan tempatan. Difahamkan CCCC tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan itu.

Ditanya sama ada isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang, Mahathir mengeyakannya.

"Ya, akan dibincangkan," katanya. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS