Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ubat-ubatan untuk penghidap diabetes
Diterbitkan:  Jan 24, 2019 3:02 PM
Dikemaskini: 7:02 AM


Orang yang menghidap diabetes yang tidak dirawat (atau tidak mengendalikan diabetes mereka dengan baik) mempunyai tahap glukosa darah (terlebih) tinggi berbanding dengan bagi mereka yang tiada diabetes.

Makan secara sihat (menghindari makanan bergula, mengurangkan pengambilan karbohidrat dan mengurangkan kalori jika berlebihan berat badan atau obes) dan menjalani aktiviti fizikal secara berkala adalah menjadi ciri utama pengawalan diabetes.

Dianggarkan kira-kira 30-40% (ada yang mengatakan sehingga 60%) orang yang menghidap diabetes jenis 2 boleh mencapai sasaran glukosa darah mereka hanya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan sihat dan senaman berkala (dan mengekalkan berat badan yang ideal) seperti yang dinyata di atas.

Malangnya, ramai yang tidak dapat mencapai sasaran dengan pelarasan gaya hidup sahaja - kebanyakannya kerana mereka tidak peka dengan kawalan diet mereka dan tidak aktif secara fizikal - tetapi kadang-kadang, kerana mereka telah lama menghidap diabetes.

Dalam keadaan sedemikian, individu-individu ini diberi ubat untuk membantu mengurus kadar glukosa darah mereka. Kebanyakan ubat-ubatan ini adalah dalam bentuk tablet, tetapi beberapa, contohnya insulin, diberi secara suntikan.

Ubatan oral

Terdapat 6 kumpulan utama ubat oral untuk pesakit diabetes di Malaysia. Tablet-tablet ini, yang disebut sebagai Ejen Hypoglikemik Oral (OHAs) berfungsi secara berbeza dalam menurunkan tahap glukosa darah anda.

Doktor anda akan menentukan jenis ubat oral yang paling sesuai untuk anda dan sama ada anda perlu mengambil sejenis ubat sahaja atau satu kombinasi ubat-ubatan (termasuk insulin) diperlukan untuk menolong anda mencampai tahap HbA1c sasaran anda.

Anda mesti mengambil ubat diabetes anda seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Jangan mengubah dos atau jadual ubat anda tanpa terlebih dahulu berbincang dengan team penjagaan diabetes anda.

Kumpulan/Jenis Ejen Hypoglikemik Oral (OHAs)

Kumpulan/jenis

Tindakan

Contoh

Sulfonurea (SUs) dan meglitinid (‘glinid’)

Merangsang pankreas untuk mengeluarkan lebih banyak insulin

‘Daonil’, ‘Diamicron-MR’, gliklazid, ‘Amaryl’; dan ‘Novonorm’

Biguanid

Mengurangkan glukosa yang dikeluarkan oleh hati, melambatkan penyerapan glukosa dari usus, dan membantu badan menjadi lebih sensitif kepada insulin supaya insulin sendiri anda berfungsi dengan lebih baik

'Glucophage-XR', Metformin

Tiazolidindion (‘glitazon’, TZDs)

Mengurangkan rentingan insulin, membolehkan insulin sendiri anda berfungsi dengan lebih berkesan terutama pada otot dan sel-sel lemak

' Actos '

Inhibitor glukosidas alfa

Melambatkan pemecahan karbohidrat kompleks dalam usus, seterusnya memperlahankan peningkatan kadar glukosa darah selepas makan

' Glucobay ', Acarbos

Inhibitor dipeptidil peptidas-4 (DPP4-I)

Meningkatkan insulin dan mengurangkan pelepasan glukagon berkaitan dengan pengambilan makanan

'Januvia'; ' Galvus '; ‘Onglyza ', 'Tragenta'

Inhibitor

Ko-pengangkut Natrium- glukosa (SGLT2-I)

mengurangkan penyerapan glukosa oleh buah pinggang supaya glukosa yang berlebihan diekskresikan ke dalam air kencing.. Ada kaitan dengan penurunan berat badan, perlindungan jantung dan buah pinggang.

'Forxiga', 'Jardiance ', ‘Invokana '

Satu langkah berjaga-jaga

Ubat diabetes oral semestinya tidak tanpa kesan sampingan: satunya yang paling utama adalah hipoglisemia (tahap glukosa darah rendah). Ini mungkin berlaku jika kita mengambil sulfonurea seperti 'daonil' (glibenklamid) atau meglitinid (contoh., 'Novonorm'). OHA yang lain biasanya tidak menyebabkan hipoglisemia ('hipo'), kecuali jika ia diambil secara bersamaan (dengan ubat lain) . Sekiranya anda terkena 'hypo', pastikan anda tahu cara menguruskannya dengan baik. Tanya doktor anda jika anda tidak pasti.

Satu lagi masalah orang yang mangambil OHA mungkin hadapi adalah peningkatan berat badan. Ini membimbangkan oleh kerana banyak yang menghidap diabetes jenis 2 biasanya juga mempunyai berat badan berlebihan atau obes; Peningkatan berat badan akan menjadikan diabetes mereka lebih sukar untuk dikawal. Sulfonurea , meglitinid (dan TZD) boleh menyebabkan peningkatan berat badan manakala tablet-tablet lain adalah neutral berat badan ( DPP4-I misalnya , januvia ) atau sebaliknya boleh menyebabkan penurunan berat badan (biguanid contohnya , metformin, SGLT2-I misalnya, forxiga).

Reaksi alahan boleh berlaku pada orang yang mengambil OHA: yang paling biasa adalah ruam kulit. Reaksi yang lebih serius jarang terdapat, seperti bibir bengkak, kulit melepuh atau kesukaran bernafas. Sekiranya anda mempunyai reaksi alahan yang teruk, hentikan ubat tersebut dan dapatkan segera bantuan perubatan.

Kesan sampingan yang lain lebih spesifik kepada kumpulan ubat ini termasuklah kesan gastrousus seperti sakit perut, angin berlebihan, kembung perut dan cirit-birit yang biasa dikesan bagi mereka yang diberi ubat biguanid ( ‘metformin’), DPP4-I ( misalnya, 'galvus') atau Inhibitor glukosidas alfa ('acarbose'). Untuk mengelak/meminimumkan kesan, doktor anda mungkin memulakan ubat pada dos yang rendah dan meningkatkannya secara perlahan-lahan.

Salah satu sebab penambahan berat badan bagi orang yang mengambil TZD ('actos') ialah kerana pengekalan air dalam badan. Oleh sebab ini, ubat ini tidak diperakui untuk diberi kepada pesakit diabetes yang ada (atau terdedah kepada) kegagalan jantung. TZD juga boleh meningkatkan risiko patah tulang.

Orang yang mengambil tablet SGLT2-I ( contohnya , ' jardiance ') lebih terdedah kepada jangkitan saluran kencing (UTI) atau thrush genital kerana peningkatan jumlah glukosa dalam air kencing. Mereka mungkin juga merasa pening-pening kerana kehilangan air berlebihan yang membawa kepada tekanan darah rendah. Sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit diabetes yang mengambil tablet SGLT2-I dinasihatkan untuk menjaga kebersihan yang baik selepas membuang air kencing dan meminum banyak air (kosong).

Sentiasalah maklumkan kepada doktor anda jika anda mengalami kesan sampingan (atau tidak selesa) dengan tablet. Beliau akan menyesuaikan dosnya atau memberi anda ubat alternatif.

Sesetengah ubat yang digunakan untuk merawat diabetes adalah tidak boleh dipreskripsikan kepada orang yang mempunyai keadaan-keadaan tertentu. Seperti yang disebutkan di atas, TZD tidak boleh digunakan bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung atau cenderung kepada patah tulang. Begitu juga, ubat-ubatan seperti TZD dan biguanid tidak disyorkan bagi mereka yang mengalami kerosakan hati manakala metformin, SGLT2-I dan kebanyakan SU dan DPP4-I adalah tidak boleh diberi kepada pesakit diabetes yang mempunyai penyakit buah pinggang (teruk).

Adalah mustahak untuk diketahui bahawa kebanyakan OHA tidak disyorkan untuk mereka yang (atau merancang untuk) hamil atau menyusu. Sila sentiasa maklumkan kepada doktor tentang perancangan anda supaya ubat yang lebih selamat dapat dipreskripsikan.

Kesimpulan satu peringatan

Dalam mengakhiri perbincangan ini, adalah penting untuk kami sekali lagi menekankan bahawa ubat-ubatan ini adalah untuk membantu kita mengawal diabetes kita - untuk digunakan sebagai tambahan kepada (dan bukan untuk mengganti) amalan makan yang sihat dan eksersais berkala kita.

Seperti yang dijangka, ubat-ubatan sahaja, walau pun yang terbaik - tanpa memberi perhatian terhadap diet yang betul dan peningkatan aktiviti fizikal - tidak akan mampu mengawal diabetes kita dengan baik (seperti banyak daripada kita yang semestinya sudah mengetahui).

Pengurusan dengan baik diabetes anda sememangnya adalah tanggungjawab peribadi anda, demi kepentingan diri anda sendiri dan keluarga yang anda sayangi. Kami yakin anda boleh melakukanya secara terbaik untuk mencapai sasaran. Insha-Allah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS