Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Orang Asli Betau beri sambutan hangat pada Najib

PRK CAMERON | Kehadiran bekas pengerusi BN, Najib Razak di Pos Betau iaitu penempatan Orang Asli terbesar di Cameron Highlands mendapat sambutan hangat di kalangan penduduk tempatan.

Beliau diberi pengormatan dengan diakaikan 'mulang' di kepala iaitu pakaian tradisional bagi Orang Asli sejurus tiba.

Kebanyakan yang hadir mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan Najib, berswafoto dan bahkan memeluk bekas perdana menteri itu ketika beliau berjalan ke pentas.

Di atas pentas, Najib diapit oleh Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi BN negeri, Wan Rosdy Wan Ismail. 

Kedua-dua mereka dilihat memakai T Shirt yang bertulisan 'Malu Apa Bossku' iaitu suatu ungkapan yang kini semakin popular di kalangan generasi muda.

Seramai 18 tok batin dari kawasan itu juga dilihat hadir dengan memakai baju BN.

Setelah juruacara majlis melaungkan 'Hidup BN' dan 'Mati PH', ketua kampung Betang, Ahmad Selu berucap di pentas dengan mengingatkan Orang Asli agar tidak memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil itu.

"Majlis batin di Dun Jelai ini, kita jangan bagi peluang kepada PH kerana mereka telah menfitnahkan kita bahawa kita di sini menerima rasuah hari itu dan pilihan raya dibatalkan. Sebab dia kata kita menerima rasuah. Menjatuhkan maruah batin-batin di jelai," katanya.

'Kalau PH datang, halau!'

Seramai dua belas Orang Asli yang sesetengah daripada mereka adalah tok batin, sebelum ini memberi keterangan di Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur bahawa mereka telah diberi wang oleh BN sebelum pilihan raya umum ke-14.

Pilihan raya kecil Cameron Highlands diadakan selepas mahkamah mendapati kemenangan calon MIC, C Sivarraajh pada 9 Mei lalu tidak sah kerana berlaku pembelian undi.

Ahmad, yang juga ketua bahagian Umno Pos Betau, meminta ketua masyarakat Orang Asli agar tidak membenarkan PH berkempen di kampung mereka.

"Hari ini mereka datang nak merayu jangan harap, kita halang. Kalau mereka datang, halau!

"Sebab dia kata kita menerima rasuah, menjatuhkan maruah batin-batin di Jelai," kata Ahmad kepada lebih 400 yang hadir dan kebanyakannya memakai baju BN berwarna biru.

'PH sua duit dalam gelap'

Najib kemudian mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang hadir dengan penuh semangat dan mendakwa PH "menjatuhkan" maruah Orang Asli.

"Orang Asli macam mana pun ada maruah betul? Jangan Orang Asli diperbodohkan, jangan Orang Asli dihina, jangan Orang Asli diugut. Kita ada maruah betul?

"Dia tuduh kita macam-macam, betul? Macam Mat (Ahmad Selu) kata dia (PH) tuduh Orang Asli terima duit, oi macam-macam. Tapi dalam gelap dia pulak sua duit," katanya.

Mereka yang hadir kemudian dijamu makan tengah hari dengan bihun dan kuih muih.

Tempoh kempen masih berbaki selama dua hari dan ramai menjangkakan undi Orang Asli akan menentukan kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor atau calon PH, M Manogaran pada 26 Januari ini.

Dua puluh dua peratus pengundi Cameron Highlands terdiri daripada Orang asli, yang berjumlah kira-kira 7,500 orang. Di Pos Betau sahaja, terdapat kira-kira 1,095 orang pengundi Orang Asli.

Semasa PRU14, BN memenangi hampir 80 peratus undi di daerah mengundi itu sementara PH mendapat kurang daripada 10 peratus.

Lihat Komen
ADS