GLOBAL | Bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (BTP) dibebaskan hari ini meminta penyokong dan pembencinya supaya memanggil beliau dengan nama itu dan bukannya 'Ahok'.
Dalam surat yang ditulis kepada penyokongnya yang dikenali sebagai 'Ahokers', beliau juga memohon supaya mereka tidak menyambut pembebasan beliau.
"Pada kesempatan ini saya juga mahu sampaikan kepada Ahokers, para PNS DKI, para pembenciku sekalipun, aku mau sampaikan mohon maaf atas segala tutur kata, sikap, perbuatan yang sengaja mahupun tidak disengaja menyakiti hati dan perasaan saudara dan anggota keluarganya."
"Saya mohon maaf dan saya keluar dari sini dengan harapan panggil saya BTP, bukan Ahok," katanya dalam tulisan surat tersebut yang bertarikh 17 Januari.
BTP yang lebih dikenali dengan panggilan Hakka 'Ahok' yang berketurunan Cina dan beragama Kristian didapati bersalah apabila kenyataannya yang mengkritik lawan tentang penggunaan al-Quran dalam kempen politik pada tahun 2017 dianggap menghina Islam sehingga mencetuskan situasi tegang di Jakarta.
Beliau dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Jakarta Selatan.
Kasih lebih baik dari kekayaan
"Terima Kasih atas doa serta dukungannya selama ini untuk saya. Tidak pernah dalam pengalaman hidup saya. Saya menerima begitu banyak pemberian dari makanan, buah-buahan, pakaian, buku-buku dan lain-lain dari saudara-saudara.
"Saya merasa begitu dikasihi dan kasih yang saudara-saudara berikan kepada saya lebih baik daripada emas dan perak mahupun dibandingkan kekayaan yang besar," tambahnya.
Ahok juga memberikan sebab menyarankan penyokong untuk tidak menyambut pembebasannya.

"Saya dengar ada yang mahu menyambut hari kebesaran saya di Mako Brimob. Bahkan ada yang mahu menginap di depan Mako Brimob.
"Saya bebas tanggal 24 Januari 2019, adalah hari Khamis hari orang-orang bekerja, jalanan di depan Mako Brimob dan di depan Lapas Cipinang adalah satu-satunya jalan utama bagi saudara-saudara kita yang mencari nafkah.
"Saya sarankan demi untuk menolong saya sebaiknya saudara-saudara tidak melakukan penyambutan apalagi menginap," jelas kandungan surat itu lagi.
Sambil bersyukur kepada Allah susulan pembebasannya, Basuki berkata pengalaman pemenjaraannya selama dua tahun itu merupakan suatu pelajaran hidup yang amat berharga.
"Saya sempat bersyukur kepada Tuhan, Allah pencipta langit dan bumi, bahawa saya diizinkan untuk ditahan di Mako Brimob.
"Saya bersyukur diizinkan tidak terpilih di pilkada DKI (pilihan raya gabenor Jakarta) 2017, jika saya terpilih lagi, saya hanyalah seorang laki-laki yang menguasai Balai Kota saja.
"Tetapi, saya disini belajar menguasai seumur hidup saya. Kuasai Balai Kota hanya untuk 5 tahun lagi. Saya jika ditanya jika waktu bisa diputar kembali, mahu pilih yang mana?
"Saya akan katakan saya memilih ditahan di Mako untuk belajar 2 tahun untuk menguasai diri seumur hidup ku," ujarnya sambil menyatakan beliau akan lebih sombong dan kasar dan menyakiti hati banyak orang, jika dipilih pada tahun 2017.
